PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memutuskan untuk menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kes pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Tujuh pemain yang terlibat dalam kes berkenaan ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel
FIFA memaklumkan pihaknya mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mendapati FAM dan tujuh pemain berkenaan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
BACA LAGI: Skandal pemain warisan : Palmero pemain pertama dibatal kontrak
BACA LAGI: Risau hantar ke CAS, FAM akan digantung — Bekas Setiausaha Agung AFF
FAM diarahkan untuk membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.9 juta) kepada FIFA. Manakala, tujuh pemain itu dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.
Kehilangan pemain selama tempoh setahun itu jelas memberi kesan kepada pasukan masing-masing hingga ada kelab yang memilih untuk membatalkan kontrak mereka.
Seperti nasib dialami Palmero yang difahamkan sah meninggalkan Unionistas de Salamanca dan Tenerife berikutan keputusan rasmi dikeluarkan oleh badan induk bola sepak dunia itu.
Lain pula cerita di kem Depertivo Alaves apabila presiden kelab berkenaan, Alfonso Fernandez de Troconiz memberitahu akan terus memberi kepercayaan kepada bek tengah itu.
Memetik laporan Noticias de Alava, De Troconiz menyatakan bahawa kelab berkenaan belum membuat keputusan mengenai masa depan pemain berusia 26 tahun tersebut.

Preside Alaves, Alfonso Fernandez de Troconiz. — Agensi
"Kami akan terus percaya kepada Garces. Kami masih menaruh kepercayaan bahawa dia tidak bersalah," kata presiden Alaves tersebut.
Sebelum ini, kecoh selepas Garces dilihat seolah-olah sudah dibuang daripada kelabnya sendiri apabila namanya tidak lagi berada dalam senarai pemain Alaves, berdasarkan pemeriksaan laman sesawang kelab berkenaan.
Berdasarkan laman sesawang Depertivo Alaves, pasukan pada tangga ke-10 liga itu hanya menyenaraikan Yusuf Enriquez, Jon Pacheco, Nikola Maras, Nahuel Tenaglia, Jonny Otto, Moussa Diarra dan Victor Berhenti.
Untuk rekod, kali terakhir Garces diturunkan ketika aksi La Liga menentang Getafe dengan dia berhasil membantu Alaves mendapatkan satu mata usai seri 1-1.
Garces menyertai Alaves pada Januari 2025 dan setakat ini, dia sudah tampil dalam 16 perlawanan untuk pasukan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
