SATU demi satu kegagalan terpancar dalam musim Selangor FC dan saya tidak hairan jika penyokong semakin hilang sabar.
Kenapa saya berkata begitu? Kerana saya sama juga seperti penyokong yang lain, sudah hilang sabar dan semakin kecewa dengan prestasi kelab.
Kekalahan kepada Persib Bandung mengesahkan tamatnya perjalanan Gergasi Merah di pentas Asia dan itu secara tak langsung menipiskan peluang untuk Selangor mendapatkan kejuaraan musim ini.
BACA LAGI: 'Prestasi macam terbantut di Selangor, nak tunggu apa lagi Aliff Haiqal?'
BACA LAGI: Berdepan cabaran getir, 3 pengurus EPL 'botak' kepala nak kejar piala

Perjalanan Selangor di Asia terhenti selepas kalah empat aksi peringkat kumpulan. — Agensi
Dalam saingan liga, Selangor terumbang-ambing untuk mendapatkan rentak, penyokong sentiasa resah setiap kali Gergasi Merah beraksi kerana tidak yakin skuad sedia ada dapat bermain baik.
Piala FA memberikan sinar, namun jika berjaya tumpaskan Sabah FC dan mara ke perlawanan akhir, bolehkah kejutan dilakukan untuk membawa pulang piala? Atau skrip memalukan musim lalu akan berulang?
Ramai penyokong sudah mula nampak kelab seperti hilang arah, apa sasaran kita sebenarnya? Apa pelan kelab selepas lihat beberapa pemain tidak menjadi dan prestasinya lemah?
Kenapa hampir saban musim kelab sering bertukar jurulatih? Kelihatan seperti Selangor ada masalah dalaman hinggakan ia menganggu skuad baik pemain atau barisan kejurulatihan.
Sejak pengurusan sedia ada mengambil alih, Selangor tidak berjaya meraih sebarang gelaran utama (Piala Cabaran penyokong tak kira ya), sampai bilakah kemarau ini akan berakhir?
Kelab seperti Selangor terlalu besar untuk mengalami kemarau piala yang cukup panjang di saat kelab tidak mengalami masalah gaji atau tidak mampu menarik pemain berkualiti menyertai Gergasi Merah.

Shahril (kiri) dan Johan (kanan) mula menerima kritikan pedas penyokong.
Rasanya, baik ketua pegawai eksekutif, Dr Johan Kamal Hamidon atau pengerusi jawatankuasa (JK), teknikal kelab, Datuk Seri Shahril Mokhtar sedar yang penyokong Selangor sentiasa 'demand' untuk piala, tapi adakah mereka ambil peduli?
Musim ini belum lagi memasuki separuh perjalanannya tapi sudah pelbagai cerita kurang enak melibatkan Selangor hingga ada yang menggelarkan kelab sebagai "beban negara" kerana persembahan buruk di kejohanan Asia.
Mungkin, sudah tiba masa untuk pengurusan tertinggi sedia ada untuk berundur dan memberi laluan kepada wajah baharu yang mempunyai idea lebih segar untuk bawa Selangor ke depan.
Jika masih enggan berundur, eloklah bagi CEO dan pengerusi JK teknikal pergi berdepan dengan penyokong dan bukannya hantar pemain kegemaran ramai untuk menjernihkan keadaan.
Waktu sukar begini memerlukan keutuhan terutamanya daripada pimpinan atasan kelab supaya berterus terang dan berani melakukan perubahan.
Penyokong tidak mahu penjelasan panjang lebar, sebaliknya tindakan proaktif sekali gus membawa hasil yang semua mahukan.
Kalau musim ini terus tiada piala, mana kami nak letak muka? — Majoriti
Amran Aminuddin
Penyokong setia Gergasi Merah yang hampa.
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
