BELUM reda isu skandal tujuh pemain warisan yang hanya akan diketahui kesudahannya pada 30 Oktober, bola sepak negara dikejutkan dengan pengakuan bekas pemain remaja Arsenal, Josh Robinson mengenai pertalian darahnya dengan Malaysia.
Pemain muda itu mengakui dia mempunyai darah Malaysia melalui ibunya sementara ayahnya berasal dari Jamaica.
Ia membuka ruang untuk Malaysia cuba mendapatkannya mewakili Harimau Malaya, namun langkah itu tidak boleh dibuat secara terburu-buru.
BACA LAGI: 'Buktikan dulu', mengaku ibu orang Malaysia, susur galur bekas pemain akademi Arsenal mesti disiasat
BACA LAGI: [VIDEO] Hampa ‘debut’ Moto3 tak menjadi, Hakim Danish tetap disambut bak wira di Sepang
Semak betul-betul
Apabila kita mengetahui adanya pemain yang boleh mewakili Malaysia, pastinya kita teruja kerana ia meluaskan lagi pilihan yang sedia ada untuk Harimau Malaya.
Ditambah dengan Robinson merupakan bekas pemain remaja Arsenal, pastinya dia sudah terdedah kepada kualiti bola sepak berkelas tinggi yang boleh memberikan manfaat kepada skuad kebangsaan.

FIFA menghukum tujuh pemain warisan kerana pemalsuan dokumen.
Akan tetapi, jika kita benar-benar ingin melamar Robinson menyertai Harimau Malaya, pemeriksaan teliti harus dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai kesahihan susur galur pemain itu.
Banyak pihak terutamanya penyokong tidak mahu situasi sama melibatkan tujuh pemain warisan itu terjadi semula kerana apa yang berlaku sudah memberikan kesan buruk kepada nama Malaysia.
Jika siasatan susur galur Robinson sudah dilakukan dengan teliti dan benar dia mempunyai pertalian darah dengan Malaysia, bolehlah FAM cuba untuk mendapatkannya beraksi buat Harimau Malaya sebelum dia memilih menyertai Jamaica.
Tapi, boleh main ke dia ni?
Kita mungkin teruja melihat ada seorang pemain berpotensi boleh beraksi untuk Malaysia, namun begitu sejauh manakah bagusnya Robinson ini?
Dengan kini dia tidak mempunyai kelab selepas dilepaskan oleh Wigan Athletic pada Januari lalu, ia menjadi tanda tanya, adakah dia cukup bagus untuk mewakili mana-mana negara termasuk Malaysia?
Situasi oleh Robinson jelas sukar untuk dihadapi, namun mungkin dia ada beberapa jalan yang boleh ditempuh bagi memastikan kariernya terus 'bernyawa'.
Salah satunya adalah mengikut jejak langkah karier satu lagi pemain warisan iaitu Richard Chin yang berhijrah ke Scotland selepas beberapa musim di divisyen bawahan England.

Richard Chin dapat bermain untuk Malaysia selepas berhijrah ke Scotland.
Beraksi untuk Raith Rovers di liga divisyen dua Scotland, Chin semakin hari semakin mendapat tempat dan hasilnya dia dipanggil menyertai Harimau Malaya selepas bermain di sana.
Satu lagi jalan yang boleh dilalui Robinson adalah dengan terbang ke Asia dan cuba menghidupkan semula kariernya di sana, sama seperti yang dilakukan oleh Dion Cools.
Cools sebelum ini beraksi bersama Buriram United dan kini melebarkan kariernya di Jepun dengan menyertai Cerezo Osaka dan semakin cemerlang bersama kelab itu.
Robinson mungkin ada potensi baik untuk beraksi bersama Harimau Malaya, namun dia perlu mendapatkan kelab terlebih dahulu sebelum dapat memikat hati Peter Cklamovski untuk memanggilnya.
Bagi FAM, jika benar mahukannya, pemeriksaan harus teliti agar insiden sebelum ini tdak berulang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
