Skandal warisan: HM belum teruji sepenuhnya, Nizaruddin yakin pembangunan akar umbi kurangkan bergantung kudrat luar


  • Podium
  • Sabtu, 18 Okt 2025

Skuad kebangsaan perlu meneruskan momentum kemenangan bagi aksi-aksi akan datang. — Facebook/Malaysia NT

PENGGANTUNGAN tujuh pemain warisan oleh FIFA dilihat tidak memberi kesan besar ke atas persembahan skuad kebangsaan di atas padang selepas mereka mencatatkan dua kemenangan berturut-turut walaupun dikenakan hukuman itu.

Keputusan baik tersebut dicatatkan ketika kempen Kelayakan Piala Asia 2027 ke atas Laos yang mengukuhkan lagi kedudukan Harimau Malaya di tangga teratas Kumpulan H susulan mencatat kemenangan bergaya 5-1.

Bagaimanapun, bagi bekas penyerang negara, Nizaruddin Yusof, dua kemenangan itu tidak boleh dijadikan kayu ukur sebenar mengenai prestasi pasukan bimbingan Peter Cklamovski.

BACA LAGI: Skandal pemain warisan, Setiausaha Agung FAM digantung serta-merta susulan siasatan FIFA

BACA LAGI: FIFA tak persoal prosedur JPN tapi kelayakan 7 pemain warisan — Khairi

Program anjuran Astro bertujuan mencungkil bakat tempatan di padang komuniti.

Jelasnya, pandangan tersebut bukanlah bertujuan merendahkan lawan dari Asia Tenggara berkenaan, malah sebaliknya dia percaya akan kualiti sebenar Harimau Malaya ketika ini.

"Kita tahu Laos bukannya pasukan sebenar (untuk nilai Harimau Malaya). Bukan mahu merendahkan, tetapi apa yang ditampilkan tempoh hari, mereka bukanlah lawan kita.

"Kita juga berharap pemain sedia ada mampu menampilkan aksi terbaik ketika berdepan pasukan lebih kuat," katanya ketika ditemui dalam program Ini Padang Kita Football Clinic di Hulu Langat, Selangor pada Sabtu.

Dalam pertembungan pertama di tempat lawan, Harimau Malaya mencatatkan kemenangan 3-0 sebelum aksi kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur menyaksikan keputusan 5-1 berpihak kepada skuad kebangsaan.

Perlawanan tersebut menyaksikan Cklamovski menurunkan pemain yang kurang diberi kepercayaan sebelum ini seperti Romal Morales, Faisal Halim dan Afiq Fazail.

Nizaruddin mahu pendekatan terdahulu diambil bagi mencari bakat tempatan.

Percaturan berkenaan mencerminkan setiap pilihan tersedia mampu mengisi kekosongan dalam pelbagai posisi yang disebabkan skandal kesemua tujuh pemain terbabit.

Dalam pada itu, Nizaruddin yang pernah beraksi buat Selangor dan Perak berharap program pembangunan bola sepak yang tersusun dapat menggilap bakat untuk masa akan datang.

"Jika boleh, kita mahu menggunakan pendekatan seperti dahulu untuk mencari bakat tempatan. Semasa saya remaja, kita banyak bermain di atas padang sebegini.

"Saya rasa apa program Astro lakukan ini boleh jadi batu loncatan terhadap pemain-pemain yang boleh mewakili negara atau memberi mereka peluang menjadikan bola sepak sebagai sumber rezeki," katanya lagi.

Ketika ini, nasib kesemua tujuh pemain digantung selama 12 bulan masih belum diketahui dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilaporkan bersedia membuat rayuan.

Bagaimanapun, tiada perkembangan positif dikongsikan badan induk bola sepak negara itu tatkala penyokong terus tertanya-tanya akan tindakan sedang diambil di sebalik tabir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram