PENGGEMAR siri The Queen’s Gambit di platform penstriman Netflix pasti masih mengingati lakonan mantap aktres Anya Taylor-Joy sebagai Beth Harmon, seorang prodigi catur dari Amerika Syarikat.
Drama tujuh episod yang diadaptasi daripada novel karya Walter Tevis itu memukau penonton dengan kisah tentang kehebatan dan kecerdikan Beth yang mampu menewaskan pemain catur bertaraf dunia meskipun usianya masih muda.
Namun, siapa sangka dalam dunia nyata menyaksikan Malaysia juga memiliki prodigi catur tersendiri yang mula menempah nama di pentas antarabangsa, bukan versi Queen’s Gambit, tetapi versi 'Prince Gambit'.
BACA LAGI: Tunggu masa diiktiraf MBoR, catur 'gergasi' libat 200 peserta komuniti SMA
BACA LAGI: [VIDEO] 'Koyak' kalah main catur, pemain no. 1 dunia hentak meja depan muka pihak lawan
Pemain catur muda yang dimaksudkan ialah Genivan Genkeswaran selepas dia muncul juara dalam Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Asia ke-19 2025 di Ulaanbaatar, Mongolia.
Menurut kenyataan Chess Master Journey, Genivan berjaya menewaskan peserta dari 16 negara termasuk Australia, China, Rusia, India, Indonesia, Korea, Singapura dan Vietnam dalam kategori Terbuka bawah 17 Tahun.
"Kemenangan luar biasa ini melayakkan Genivan menerima gelaran berprestij FIDE Master (FM), gelaran langsung yang dianugerahkan kepada pemenang pingat emas bagi kategori U13, U15 dan U17 berdasarkan peraturan Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE)," menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, pemain berusia 16 tahun itu memegang gelaran Candidate Master (CM), pencapaian terbaharu menandakan langkah besar dalam perjalanan antarabangsa Genivan dalam arena catur.
Pengurus Chess Master Journey, Selvi Shanmugam berkata, gelaran FIDE Master itu akan menjadi pendorong buat Genivan untuk terus mara dalam mengejar cita-cita dan impiannya.
"Kami berharap dia terus berkembang bukan sahaja sebagai pemain catur, tetapi juga sebagai individu yang memberi sumbangan positif kepada masyarakat," kata Selvi, yang juga Jurulatih Catur dan Pengadil FIDE.
Kemenangan dikecapi Genivan bukan sahaja menyerlahkan kekuatan baharu Malaysia dalam arena catur, tetapi turut menambah senarai pencapaian antarabangsa negara.

Kepulangan Genivan di tanah air disambut meriah oleh ahli keluarganya. — Facebook/Sritheran Renganathan
Oleh itu, tidak hairan apabila para peminat sukan tanah air khususnya penggemar catur memuji bakat luar biasa Genivan dan memberinya nama jolokan sebagai 'Prince Gambit'.
Kejohanan yang berlangsung dari 24 Oktober hingga 2 November itu dianjurkan oleh Persekutuan Catur Mongolia di bawah naungan Persekutuan Catur Asia (ACF) dan FIDE, menghimpunkan pemain muda terbaik Asia dalam sembilan pusingan permainan yang sengit.
Edisi ke-19 kejohanan menampilkan kategori daripada bawah 7 hingga bawah 17 Tahun (lelaki dan perempuan), memperlihatkan bakat muda terbaik rantau Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
