TULAR di media sosial satu video menyentuh hati apabila seorang budak lelaki dilihat menangis teresak-esak selepas gagal mendapatkan tandatangan pemain sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi.
Kejadian itu berlaku sejurus tamat perlawanan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Rabu.
Menerusi rakaman video yang dikongsikan pengguna TikTok, @mrlabufotosense, budak lelaki berbangsa Cina itu dilihat membawa sehelai jersi dan sebiji bola sambil menunggu peluang untuk bertemu Arif Aiman selepas perlawanan tamat.
BACA LAGI: 'Dendam lama masih berbekas', resume Gamel buktikan Bojan Hodak tidaklah 'sekebal' mana
BACA LAGI: [VIDEO] 'Baru tahu susahnya Liga Super', musim pertama ajar penyerang buruan Perak 'sesuatu'
Menurut perkongsian tersebut, Arif Aiman ketika itu dipanggil untuk ditemu bual oleh wartawan sejurus tamat aksi menentang Shanghai Shenhua sebelum segera beredar ke bilik persalinan selepas sesi temu bual selesai.
Walaupun sempat melayan beberapa peminat yang ingin bersalaman dan bergambar, budak lelaki berkenaan tidak sempat mendapatkan tandatangan idola bola sepaknya itu, menyebabkan dia dilihat menangis kecewa di tempat duduk penonton.
Pengguna TikTok berkenaan turut menzahirkan rasa simpati terhadap peminat cilik itu sambil menyeru Arif Aiman agar menandatangani jersi berkenaan sekiranya berpeluang bertemu semula.
"Ceritanya macam ini, budak Cina ini duduk belakang, lepas habis game saja semua pemain sudah masuk dalam bilik persalinan, tiba-tiba wartawan panggil Arif Aiman untuk keluar interviu.
"Bila budak ini nampak saja Arif Aiman datang nak interviu, dia dari belakang dengan dua kawan dia terus jalan laju ke depan sambil bawa jersi JDT dengan bola sebiji.
"Habis saja Arif Aiman interviu nak masuk dalam, diorang pun panggillah Arif nak bergambar bagai, Arif pun layan saja salam-salam fans dia.
"Budak ini panggil Arif suruh sain jersi dia tapi tak dapat sebab Arif sudah masuk, masa itu aku tengok budak ini terus terduduk dekat bangku aku tengok memang frust budak ini.
"Jarang kita nak tengok anak muda berbangsa Cina minat dengan pemain bola kita tapi ini budak lain macam.

Tangkap layar menunjukkan Arif Aiman meninggalkan komen membalas seruan video tersebut.
"Abang memang respect kau dik, @Arifaiman42 kalau kau tengok, tolonglah sain jersi budak ini, serius weh, dengan aku sedih tengok dia tadi," katanya dalam kapsyen.
Menariknya, tidak lama selepas video itu tular, akaun rasmi milik Arif Aiman dengan nama pengguna @Arifaiman42 meninggalkan komen membalas seruan tersebut.
“Okay, nanti next game dekat SSI saya jumpa, sign okay,” tulis pemain kebangsaan berusia 23 tahun itu sekali gus bakal menceriakan semula hati peminat cilik berkenaan.
Dalam aksi menentang Shanghai Shenhua itu, skuad kendalian Xisco Munoz mudah menewaskan wakil China itu dengan keputusan 3-1 dalam perlawanan Kumpulan A.
Meskipun tidak menjaringkan gol, Arif Aiman tampil cemerlang dengan membuat dua hantaran bantuan untuk jaringan Jonathan Silva pada minit ke-48 dan m-87, manakala satu gol JDT dicetak oleh Oscar Arribas (m-63).
Kemenangan itu turut memastikan Harimau Selatan kekal di landasan terbaik dalam kempen peringkat kumpulan ACLE musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
