Seperti dijangka, Bank Negara kekalkan OPR 2.75 peratus


  • Massa
  • Khamis, 06 Nov 2025

Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

BANK Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus selaras dengan jangkaan pasaran.

Pada tahap OPR semasa, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) berpendapat pendirian dasar monetari adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.

"MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA LAGI: [VIDEO] Kes amang seksual bekas guru praktikal digugurkan, pengadu tarik balik aduan — Peguam

BACA LAGI: ‘Saturday Midnight Sale’ tarikan dimensi terbaharu Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia di Johor

Jawatankuasa Dasar Monetari berpendapat pendirian dasar monetari adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.

BNM berkata, penunjuk terkini menunjukkan pengembangan yang berterusan dalam pertumbuhan global.

Katanya, walaupun kesan tarif yang lebih tinggi akan terus mempengaruhi pertumbuhan global, prospek pertumbuhan akan disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang berdaya tahan, inflasi yang semakin menurun, dasar monetari yang kurang ketat dan dasar fiskal yang memberikan sokongan.

Malah, penyelesaian lebih banyak rundingan perdagangan telah sedikit sebanyak meredakan ketidakpastian global.

Menurutnya, bagi ekonomi Malaysia, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan pada suku ketiga yang lebih baik daripada jangkaan, didorong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang berdaya tahan serta pengeluaran komoditi yang kembali pulih.

"Pada masa hadapan, permintaan dalam negeri yang berdaya tahan akan terus menyokong pertumbuhan menjelang 2026.

"Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.

"Pengembangan aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13)," tambahnya.

Langkah-langkah di bawah Belanjawan 2026 juga akan memberikan sokongan kepada pertumbuhan.

"Namun, prospek pertumbuhan tersebut kekal tertakluk pada ketidakpastian luaran termasuk risiko prospek pertumbuhan global yang perlahan, sentimen yang lebih lemah serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.

"Sementara itu, potensi pertumbuhan menjadi pesat boleh berpunca daripada prospek pertumbuhan global yang lebih baik, permintaan terhadap barangan E&E yang lebih kukuh dan aktiviti pelancongan yang giat," katanya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram