Dengarnya bakal kembali ke EPL, ten Hag kini dalam radar kelab tercorot liga


  • Podium
  • Isnin, 03 Nov 2025

Erik ten Hag antara calon utama bagi menggantikan Vitor Pereira yang baru dipecat untuk mengemudi Wolves.

WOLVES dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk membawa semula Gary O’Neil sebagai pengurus pasukan, selain turut menyenaraikan Erik ten Hag antara calon utama bagi menggantikan Vitor Pereira yang baru dipecat.

Tindakan tegas itu diambil selepas Wolves tewas 0-3 kepada Fulham pada Sabtu, sekali gus menjadikan mereka pasukan tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas 10 perlawanan.

Pereira, yang baru menandatangani kontrak baharu pada September, ditamatkan khidmatnya keesokan harinya selepas kekalahan tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Baru tahu susahnya Liga Super', musim pertama ajar penyerang buruan Perak 'sesuatu'

BACA LAGI: Skandal pemain warisan: Laporan jawatankuasa bebas dijangka siap dalam tempoh 6 minggu

Bekas pengurus The Red Devils, Erik ten Hag.

Menurut laporan The Athletic, rundingan kini sedang berlangsung untuk membawa O’Neil kembali ke Molineux.

Bekas pengendali AFC Bournemouth itu pernah menamatkan musim 2023/24 di tangga ke-14 bersama Wolves, namun dipecat pada Disember 2024 ketika pasukan berada di kedudukan kedua tercorot liga.

Selain itu, nama Erik ten Hag juga dikatakan turut dipertimbangkan.

Bekas pengendali The Red Devils itu itu kini berstatus sebagai ejen bebas selepas menamatkan tempoh singkat bersama Bayer Leverkusen pada September lalu, hanya 63 hari selepas dilantik.

Sebelum itu, Ten Hag mengendalikan Manchester United selama hampir dua tahun setengah, membawa kelab tersebut menjulang Piala Carabao 2022/23 dan Piala FA 2024, namun kehilangan sentuhan apabila menamatkan musim berikutnya di tangga kelapan sebelum dipecat pada Oktober.

Selain O’Neil dan Ten Hag, dua lagi nama iaitu Michael Carrick dan Rob Edwards turut dilaporkan dalam senarai pertimbangan Wolves.

Bagaimanapun, tiada keputusan rasmi dijangka dibuat dalam masa terdekat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram