'Sebagai gentleman, kita akui sajalah', bekas SU Agung FAM kata lebih baik guna duit CAS bayar gaji pemain


  • Podium
  • Rabu, 05 Nov 2025

FAM masih mahu meneruskan kes tersebut dengan mengheretnya ke muka pengadilan CAS.

BEKAS Setiausaha (SU) Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Azzuddin Ahmad menasihatkan FAM agar bersikap terbuka dan berjiwa besar dengan mengakui kesilapan dalam isu penggantungan tujuh pemain Harimau Muda oleh FIFA, berbanding meneruskan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Menurut beliau, tindakan membawa kes itu ke CAS bukan sahaja akan memanjangkan isu, tetapi turut melibatkan kos tinggi yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk pembangunan bola sepak tempatan.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Biar kebenaran didedahkan’, Sultan Abdullah tuntut kebangkitan FAM, jadikan peringatan

BACA LAGI: Risau hantar ke CAS, FAM akan digantung — Bekas Setiausaha Agung AFF

"Saya rasa kita patut menerima hakikat bahawa kesalahan telah berlaku. Sebagai gentleman, kita akui sajalah. Orang akan lebih menghormati kita kalau kita berani mengaku kesilapan dan ‘own up’," ketika ditemui pada majlis Walk With King Of Sport di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Rabu.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis itu.

Azzuddin berkata, berdasarkan pengalamannya ketika bersama FAM, situasi seperti ini tidak pernah berlaku kerana pada waktu itu tiada pemain naturalisasi, dan semua keputusan dibuat dengan berhati-hati agar tidak bercanggah dengan peraturan FIFA. 

Menurut beliau, berdasarkan maklumat dan bukti yang telah dikemukakan oleh FIFA, segala fakta mengenai kes tersebut sudah jelas dan tidak wajar lagi dipertikaikan.

Azzuddin turut menegaskan bahawa langkah paling berhemah bagi FAM ketika ini adalah mengakui kesilapan yang berlaku serta memohon maaf secara terbuka kepada FIFA, peminat bola sepak tempatan dan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya rasa perjalanan kita ini akan berliku. Kalau kita masih nak bawa perkara ini ke CAS, saya khuatir ia hanya akan menambah kesulitan.

“Sehingga kini semua bukti sudah jelas, menunjukkan memang ada unsur penipuan yang berlaku. Jadi, kita sepatutnya mengambil iktibar daripada apa yang terjadi dan insaf.

“Kalau saya, dari segi pandangan peribadi, saya akan mengaku sahaja kesilapan itu dan memohon maaf kepada FIFA serta rakyat. Ini kerana perkara ini bukan kecil, ia menjejaskan imej dan maruah negara di mata dunia,” katanya.

Selain itu, Azzuddin turut mengingatkan bahawa membawa kes itu ke CAS akan menelan belanja yang besar, dianggarkan mencecah jutaan ringgit dan wang tersebut lebih baik digunakan untuk memperkukuh aspek pembangunan akar umbi serta kebajikan pemain tempatan.

“Kalau tak silap saya, ia akan menelan belanja berjuta. Alangkah baiknya duit itu digunakan untuk pembangunan akar umbi. Kalau ada tunggakan gaji pemain, langsaikanlah. Itu lebih memberi manfaat kepada pemain dan bola sepak kita sendiri,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa dengan mengakui kesilapan dan menumpukan kepada pembaikan dalaman, FAM akan lebih dihormati serta mampu memulihkan keyakinan penyokong terhadap hala tuju bola sepak negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram