Rekaan IKBN Kemasik muncul juara, cipta sabun dari biji kurma mampu turunkan suhu badan, rawat luka


  • Massa
  • Khamis, 06 Nov 2025

IKBN Kemasik menjadi johan rekaan terbaik bagi kategori kolej sempena Hari Terbuka TVET YRMS 2025 pada Khamis.

SIAPA sangka oleh kerana tidak mahu mensia-siakan biji kurma, ia akhirnya menimbulkan idea buat Insitut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, Terengganu untuk menghasilkan sebuah sabun.

Dikenali sebagai Seedra Soap, sabun tersebut menggunakan bahan-bahan terbuang dan menjadikan ia sesuatu yang bermanfaat buat komuniti.

Menurut pensyarahnya, Nurul Syahirah Sarkawi, biji kurma tersebut mempunyai pelbagai vitamin yang mampu membeirikan manfaat kepada penggunanya.

BACA LAGI: 'Saya masih menyayanginya sepenuh hati', lelaki Sibu dipenjara 20 tahun lepas tetak isteri, anak perempuan

BACA LAGI: KPRJ rasmikan pembukaan musim ulang tahun ke-30 menerusi acara golf eksklusif

Seedra Soap merupakan sabun yang diperbuat daripada biji kurma sebagai bahan utama.

Antara manfaatnya adalah boleh menurunkan suhu badan buat kanak-kanak serta merawat luka.

"Selalunya, biji kurma ini kita akan buang begitu saja dan apabila dibuang, ia menyebabkan parit akan tersangkut kerananya apabila terlalu banyak. Apabila kami melakukan kajian mengenai biji kurma ini, kami nampak pelbagai manfaat padanya.

"Antaranya adalah vitamin A, vitamin C dan pelbagai lagi. Jadi, sabun ini berfungsi untuk merawat luka serta menurunkan suhu badan sekiranya kanak-kanak berada dalam keadaan demam," kata Nurul Syahirah pada Khamis.

Rekaan yang dicipta IKBN Kemasik itu diangkat sebagai johan bagi kategori kolej di Hari Terbuka TVET Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) 2025 di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua, Hulu Langat pada Khamis.

Mereka membawa pulang wang sejumlah RM3,000.

Tambah Nurul Syahirah, proses melakukan sabun itu mempunyai tiga peringkat iaitu pengeringan biji kurma, seterusnya penapisan minyak dan selepas itu adalah pembuatan produk.

Katanya, wang kemenangan yang diterima mereka akan digunakan untuk tujuan menkomersialkan sabun tersebut.

"Untuk peringkat awal, kami merancang untuk menkomersialkan sabun ini dengan sasaran pengguna adalah komuniti setempat sebelum bergerak ke skala lebih besar.

"Dalam jangka masa panjang, kami ingin pastikan sabun ini mampu menembusi pasaran antarabangsa," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram