SIAPA sangka, petugas kantin yang sering dipanggi sebagai 'acik' dalam kalangan pelajar sekolah dijulang sebagai wira dalam penghasilan rekaan produk berkualiti tinggi.
Itu diakui pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jugra, Selangor apabila mereka dinobatkan sebagai juara rekaan terbaik Hari Terbuka TVET Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) 2025 bagi kategori sekolah menengah.
Ciptaan rekaan beg daripada bahan-bahan makanan terbuang seperti kulit pisang dan lobak yang dikenali sebagai ReBag Plus, ternyata memanfaatkan sisa buangan daripada terbiar begitu saja.
BACA LAGI: Rekaan IKBN Kemasik muncul juara, cipta sabun dari biji kurma mampu turunkan suhu badan, rawat luka
BACA LAGI: KPRJ rasmikan pembukaan musim ulang tahun ke-30 menerusi acara golf eksklusif

SMK Jugra muncul juara rekaan terbaik bagi kategori sekolah.
Menurut seorang daripada pelajar yang terlibat dalam ciptaan tersebut, Mohammad Iman Mohammad Ghazali, 13, petugas-petugas kantin di sekolahnya banyak membantunya dan rakan-rakan dalam menjayakan projek tersebut.
"Selain cikgu-cikgu dan pihak sekolah, petugas-petugas kantin juga membantu, sebabnya bahan-bahan yang kami gunakan dalam kajian semuanya daripada kantin.
"Jadi, petugas-petugas kantin akan asingkan bahan-bahan dan kami akan ambilnya daripada mereka semasa hendak membuat kajian," katanya kepada Majoriti.
Penghasilan ReBag Plus bukannya menggunakan sisa makanan semata-mata, sebaliknya ia turut melibatkan gelatin, glycerol dan alginate.
Bagi rakan sepasukan Mohammad Iman, Nisa' Hasna Nabilah Khairil Anwar, 13, tempoh kajian dan pembangunan (R&D) untuk mendapatkan sukatan sempurna mengambil masa selama tiga minggu.
Ia turut melibatkan beberapa kali eksperimen mereka tidak menjadi akibat nisbah yang tidak seimbang antara sisa makanan dengan bahan kimia digunakan.
"Mula-mula kami tak gunakan glycerin, namun ia menyebabkan produk kami terlalu keras. Bila kami cuba bahan lain, dia bertukar jadi terlalu nipis dan ada juga terlalu melekit.
"Nisbah sempurna yang kami peroleh adalah kulit pisang 200 gram, glycerin 20 gram dan glycerol 10 gram," ujarnya.
Sebagai juara, SMK Jugra membawa pulang wang kemenangan sebanyak RM1,500. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
