[VIDEO] 'Ingatkan dunia nak berakhir', 7 maut, saksi kongsi detik nahas kapal terbang terhempas di Louisville


  • Benua
  • Rabu, 05 Nov 2025

Asap tebal kelihatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Muhammad Ali Louisville selepas pesawat kargo UPS terhempas. — Reuters

SEKURANG-KURANGNYA tujuh maut manakala 11 lagi cedera selepas sebuah pesawat kargo milik syarikat UPS terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muhammad Ali, Louisville, Kentucky, Amerika Syarikat pada Rabu.

Insiden tragik berkenaan mencetuskan letupan besar dan kebakaran dahsyat sejurus selepas pesawat berlepas, sekali gus memusnahkan sebahagian kawasan lapangan terbang.

Gabenor Kentucky, Andy Beshear memaklumkan bahawa angka korban dijangka meningkat berikutan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan.

BACA LAGI: [VIDEO] Kembali jumpa bekas kekasih, semata-mata nak tunjuk baki wang dalam bank

BACA LAGI: [VIDEO] Transformer rosak punca pasar raya meletup di Mexico, 23 termasuk kanak-kanak terkorban

“Berita dari Louisville amat menyedihkan apabila angka kematian telah mencecah sekurang-kurangnya tujuh orang dan dijangka terus meningkat.

"Pasukan penyelamat kini berada di lokasi, berusaha memadamkan kebakaran dan menjalankan siasatan,” katanya menerusi kenyataan di platform X.

Sementara itu, Datuk Bandar Louisville, Craig Greenberg memaklumkan lebih 100 anggota bomba dari seluruh kawasan berdekatan sedang bertungkus-lumus di lokasi kejadian bagi memastikan kawasan tersebut kembali selamat.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), pesawat kargo UPS Penerbangan 2976 yang membawa tiga anak kapal itu dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Daniel K. Inouye di Honolulu apabila ia terhempas sekitar pukul 5.15 petang waktu tempatan.

Bunyi letupan kuat turut dilaporkan oleh media tempatan dan penduduk sekitar kawasan kejadian.

Seorang pelajar kejururawatan Universiti Louisville, SJ Matthews, 21, berkata, dia mengambil makanan di sebuah restoran berhampiran apabila menyedari kepulan debu tebal di udara.

"Saya keluar dengan makanan saya dan nampak awan debu besar naik ke langit. Saya fikir dunia nak berakhir.

"Saya benar-benar terkejut. Bila dapat tahu ia sebenarnya pesawat yang terhempas dan meletup, hati saya luluh memikirkan nasib mereka di dalam pesawat," katanya kepada media tempatan, The Louisville Courier Journal.

Sementara itu, pemandu lori syarikat UPS, Damon Fortner berkata, dia menyaksikan sendiri pesawat berkenaan menjunam sebelum meletup tidak jauh dari tempat dia berhenti.

Seorang lagi penduduk, Elizabeth Owens berkata, dia pada mulanya menyangka kepulan asap tebal yang kelihatan dari rumahnya sekitar pukul 5.30 petang itu ialah awan ribut.

"Saya nampak asap naik dengan cepat dari kawasan pokok dan makin lama makin tebal. Ia berterusan lebih sejam," tambahnya.

Owens yang tinggal bersama suami dan anak lelakinya berusia 11 tahun, berkata, kawasan kejiranan mereka sering menjadi laluan pesawat kargo UPS.

"Kami memang biasa dengar dan nampak kapal terbang UPS melintasi rumah, tapi kali ini sangat menakutkan. Ia buat saya terfikir selama ini tak pernah saya bayangkan kejadian sebegini boleh berlaku begitu dekat dengan rumah kami," ujarnya.

Dia sekeluarga terpaksa berlindung di dalam rumah sepanjang malam berikutan kebakaran masih belum padam sepenuhnya.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) kini mengetuai siasatan rasmi berhubung nahas itu, manakala syarikat UPS dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa maklumat lanjut akan dikongsikan sebaik sahaja diperoleh daripada pihak berkuasa penyiasat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram