KONTINJEN Jabatan Canseleri Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersiap sedia untuk beraksi dalam Sukan Antara Staf UiTM Shah Alam (SASSA) 2025 yang bakal berlangsung mulai 5 hingga 13 November 2025 di pelbagai venue sekitar kampus induk UiTM Shah Alam dan Aeon Shah Alam..
Penyertaan kali ini menghimpunkan seramai 70 orang atlet staf daripada pelbagai bahagian di bawah Jabatan Canseleri, yang akan mengambil bahagian dalam pelbagai acara seperti badminton, futsal, bola jaring, ping pong, e-sukan dan lain-lain.
Sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada semua kontinjen, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, turut hadir memberikan amanat dan kata-kata semangat kepada para atlet pada sesi pengenalan kontinjen Jabatan Canseleri yang diadakan di Bangunan Canseleri, UiTM Shah Alam.
BACA LAGI: [VIDEO] Tiga anak ambil degree, ada juga sambung master, Abon bangga UiTM jadi pilihan keluarga
BACA LAGI: UiTM sasar 10 peratus graduan jadi usahawan, anjur AYEF 2025 demi perkukuh jaringan serantau
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan semangat kesukanan, disiplin dan perpaduan dalam menjayakan SASSA 2025 yang bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah memperkukuh hubungan silaturrahim antara warga universiti.
Mengimbas pencapaian tahun lalu, Jabatan Canseleri berjaya meraih tempat kedua keseluruhan dengan kutipan tiga pingat emas.
Bagi tahun ini, kontinjen tersebut mensasarkan peningkatan kepada lima pingat emas, dengan harapan besar disandarkan kepada acara ping pong, petanque, karom dan badminton.
Menurut Ketua Kontinjen Jabatan Canseleri, Mushidi Tompang persiapan kontinjen telah bermula seawal dua minggu sebelum kejohanan bagi memastikan semua atlet berada dalam keadaan optimum dari segi fizikal dan mental.

SASSA kali ini akan berlangsung di Kompleks Sukan, UiTM Shah Alam.
"Sebagai langkah jangka panjang, pihak kontinjen turut merancang inisiatif 'Road To Gold' bagi memastikan prestasi atlet terus konsisten.
"Antara langkah yang bakal diambil termasuk mengekalkan pengurus sukan sedia ada, menganjurkan sukan persahabatan secara berkala, serta memulakan usaha tajaan dan sumbangan bagi menampung keperluan atlet," katanya.
Beliau turut menambah bahawa semangat kesukanan tahun ini disemarakkan dengan penghasilan bendera rasmi kontinjen buat julung kali, selain memastikan semua atlet kekal bermotivasi dan bebas kecederaan sepanjang latihan.
"Saya berharap semua kontinjen iaitu pasukan Jabatan Canseleri, dapat menonjolkan semangat juang tinggi dan menjadikan temasya ini sebagai platform untuk mengeratkan hubungan serta memupuk nilai kerja berpasukan," ujar beliau.
SASSA 2025 dijangka menghimpunkan ratusan staf UiTM daripada pelbagai jabatan dan fakulti, menjadikannya antara acara tahunan terbesar universiti yang meraikan perpaduan dan semangat kesukanan warga UiTM Shah Alam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
