Buat baik dalam diam, bantu selamatkan nyawa budak hidap barah otak sebelum tinggalkan Liverpool


  • Podium
  • Selasa, 04 Nov 2025

Sepanjang tiga musim bersama The Reds, Nunez (tengah) meledak 40 gol dalam 143 perlawanan. — Agensi

DUNIA bola sepak dikejutkan dengan kisah menyentuh hati apabila bekas penyerang sensasi Liverpool, Darwin Nunez dilaporkan secara diam-diam menanggung sepenuhnya kos pembedahan tumor otak seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

Difahamkan, Nunez yang kini merupakan tonggak kelab Arab Saudi, Al-Hilal itu membantu budak berkenaan selepas pertemuan secara kebetulan ketika sesi tandatangan autograf beberapa bulan lalu.

Pihak hospital yang merawat kanak-kanak itu tampil mendedahkan tindakan luar biasa tersebut, menyifatkannya sebagai perbuatan penuh kemanusiaan yang langsung tidak diketahui umum sehingga baru-baru ini.

BACA LAGI: Tiru cara Man United, Liverpool harus panggil legenda The Reds ‘sarung’ semula but

BACA LAGI: Pecat Arne Slot? Liverpool sudah ada keputusan lepas tewas mengejut

Menurut sumber perubatan, kanak-kanak perempuan tersebut memerlukan pembedahan segera dan rumit namun keluarganya tidak berkemampuan menampung kos rawatan. 

Nunez yang mengetahui keadaan itu ketika pertemuan ringkas bersama peminat terus menanggung keseluruhan perbelanjaan perubatan dan memberi sokongan kewangan kepada keluarga sepanjang tempoh rawatan.

Difahamkan, pembedahan itu berjalan dengan jayanya dan pesakit kecil berkenaan kini berada dalam fasa pemulihan. 

Keluarga kanak-kanak tersebut meluahkan rasa terharu dan kesyukuran atas keprihatinan pemain kebangsaan Uruguay itu yang memilih untuk berbuat baik tanpa sebarang publisiti.

Berita mengenai tindakan Nunez mula tersebar selepas hospital berkenaan mendedahkan kisah sebenar dan sejak itu, media sosial dibanjiri pujian serta penghargaan daripada peminat dan komuniti bola sepak global.

Nunez berhijrah ke Al-Hilal pada awal musim ini. — Agensi

Ramai menyifatkan Nunez sebagai contoh teladan kepada pemain bola sepak moden yang bukan sahaja bersinar di atas padang, tetapi juga membawa sinar harapan di luar gelanggang.

Wakil hospital tersebut berkata, tindakan Nunez itu benar-benar memberi makna besar kepada keluarga pesakit.

"Kebaikan Darwin telah mengubah sebuah kehidupan. Dia tidak mahukan pengiktirafan — dia hanya mahu membantu seorang kanak-kanak yang memerlukan," kata jurucakap hospital berkenaan.

Kisah luar biasa ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Nunez bukan sekadar bintang bola sepak, tetapi juga wira sebenar di luar padang, membuktikan bahawa nilai kemanusiaan dan kasih sayang mampu melangkaui batas sukan dan populariti. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram