SABAN hari kita dihidangkan dengan video warga asing yang semakin 'naik kepala' apabila ada antara mereka bukan sahaja rancak berniaga tanpa kebenaran, malah turut menggunakan fasiliti awam seolah-olah milik sendiri.
Terbaharu, tular pula insiden membabitkan sekumpulan warga asing yang didakwa meletakkan syarat kepada penduduk tempatan untuk bermain bola sepak di padang awam sebuah kawasan perumahan.
Kejadian itu dimuat naik ke media sosial oleh pengguna akaun Sham Kapt, memperlihatkan kedua-dua pihak saling berbalas kata-kata dengan nada tegang mengenai siapa yang berhak menggunakan kemudahan awam tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Penguat kuasa 'ambush' warga asing di Semporna, ada sanggup lari tinggalkan barang niaga
Dalam rakaman berdurasi kurang daripada seminit itu, lelaki tempatan berkenaan menegaskan bahawa padang tersebut terletak di kawasan perumahan dan seharusnya diutamakan untuk kegunaan penduduk setempat.
"Ini tempat Malaysia, kau faham tak. Kalau kau dah ramai dekat sini, orang tengok. Ini Malaysia lah, kena perlukan syarat ke? Korang buat peraturan ke?
"Imigresen cek satu-satu ini. Sejak bila pula korang orang luar yang letakkan syarat di Malaysia," katanya dengan nada marah kepada lelaki warga asing berkenaan.
Bagaimanapun tarikh dan lokasi sebenar kejadian tidak dapat dipastikan.
Sementara itu, lelaki warga asing yang sepertinya berasal dari Bangladesh menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan bahawa mereka tidak pernah menetapkan sebarang syarat kepada sesiapa untuk bermain bola sepak di padang itu.

Tangkap layar hantaran daripada Update Info.
"Mereka datang, kami memang keluar. Setiap Ahad mereka datang. Kami tak letak syarat, siapapun datang boleh main bola sepak. Kami memang keluar kalau orang datang. Kalau abang datang bagitahu, kami keluar," balasnya.
Insiden tular berkenaan pantas mencuri perhatian warganet yang rata-ratanya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap isu penggunaan kemudahan awam oleh warga asing.
Ada yang menyokong tindakan lelaki tempatan mempertahankan hak penduduk, manakala sebahagian lagi menyeru agar perkara tersebut diselesaikan dengan cara yang lebih berhemah tanpa menimbulkan ketegangan.
Setakat ini, Jabatan Imigresen Malaysia masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden itu, namun warganet berharap agar tindakan tegas diambil jika didapati berlaku penyalahgunaan kemudahan awam oleh pihak tidak bertanggungjawab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
