DALAM usaha memperkukuh benteng pertahanan yang semakin rapuh, Liverpool dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah luar biasa dengan memujuk semula bekas pertahanan tengah mereka, Joel Matip untuk keluar daripada persaraan.
Langkah itu dikatakan muncul selepas pengendali The Reds, Arne Slot bergelut mencari formula terbaik untuk menstabilkan pasukannya yang kini dilihat kekurangan pemain berkualiti di bahagian pertahanan tengah.
Slot dilaporkan mahu pemain yang mampu memulakan serangan dari bawah dan selesa mengawal bola di kawasan sendiri, namun ketika ini hanya Virgil van Dijk, Joe Gomez dan Ibrahima Konate tersedia, itupun dengan beberapa isu kecergasan dan kontrak.
BACA LAGI: Pecat Arne Slot? Liverpool sudah ada keputusan lepas tewas mengejut
"Slot memerlukan pemain yang sesuai dengan falsafah permainan berasaskan penguasaan bola. Kekurangan opsyen di posisi pertahanan tengah kini menjadi keutamaan untuk diselesaikan segera," lapor portal sukan tempatan Britain.
Matip, 34, meninggalkan Liverpool lebih setahun lalu selepas kontraknya tamat dan kini menikmati kehidupan persaraan.
Namun, pengalaman luasnya bersama kelab itu menjadikan dia calon ideal untuk menjadi penyelesaian sementara menjelang jendela perpindahan Januari.
Bekas pemain antarabangsa Cameroon itu pernah menjadi tonggak penting dalam era keemasan Jurgen Klopp terkenal dengan kebolehannya melakukan hantaran progresif dan larian berani menembusi benteng lawan.
Sumber dalaman kelab turut mendedahkan bahawa Liverpool melihat situasi Matip sebagai peluang seperti yang pernah dilakukan oleh Manchester United terhadap Paul Scholes pada 2012, apabila legenda mereka keluar dari persaraan dan membantu kelab memenangi kejuaraan liga.

Man United pernah memanggil semula Scholes pada 2012. — Agensi
"Jika ada pemain pertahanan yang benar-benar memahami struktur permainan Liverpool, ia sudah tentu Matip.
"Walaupun sudah bersara, dia masih memiliki tahap kecergasan yang baik dan boleh menjadi penyelesaian jangka pendek yang berkesan," jelas laporan itu lagi.
Dengan usia yang sebaya Van Dijk dan pengalaman luas di Liga Perdana Inggeris, kehadiran semula Matip selama enam bulan dilihat mampu menstabilkan bahagian belakang The Reds dan memberi ruang kepada Slot memperkukuh skuad secara lebih menyeluruh menjelang musim depan.
Langkah ini mungkin tidak ideal, namun sejarah membuktikan keputusan berani sebegini mampu membawa hasil besar dan bagi Liverpool, pemburuan kejuaraan liga mungkin bergantung kepada sentuhan terakhir seorang legenda lama. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
