‘Kembali ke padang nostalgia', alumni ragbi SMK Sultan Sulaiman raikan 100 tahun sekolah tercinta


  • Podium
  • Sabtu, 01 Nov 2025

Kejohanan Touch Rugby Alumni SMKSS 2025 yang berlangsung selama sehari menghimpunkan dari beberapa generasi bekas-bekas pemain ragbi Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman(SMK SS) yang terletak di Kuala Terengganu, Terengganu. — Pembaca Majoriti

SAMBUTAN ‘Seabad Gemilang’ sempena 100 tahun usia penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMK SS) yang terletak di Kuala Terengganu mencipta sensasi tersendiri apabila berjaya menghimpunkan bekas-bekas pelajar dan pemain ragbi sekolah tersebut dalam satu acara bersejarah.

Sambutan itu bukan sekadar meraikan pencapaian seratus tahun sekolah yang penuh tradisi dan kejayaan, tetapi turut menjadi wadah mempererat kembali ukhuwah dalam kalangan bekas pelajar dari pelbagai generasi.

Berlangsung dalam satu penganjuran yang serba ringkas, acara tersebut tetap berjaya menghimpunkan seramai 60 orang pemain yang hadir bersama ahli keluarga masing-masing.

BACA LAGI: 'Nak petik buah boleh tapi ikut undang-undang', Aliff Ahmad tegur rakyat Malaysia guna visa pelancong cari rezeki di Australia

BACA LAGI: [VIDEO] 'Jangan rendahkan saya', fighter Indonesia kencing baju semboyan, ludah muka punca Yusuf Azmi 'perang' awal

Kejohanan Touch Rugby Alumni SMKSS 2025 mewarnai sambutan ‘Seabad Gemilang’ semperna 100 tahun usia penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman(SMK SS) yang terletak di Kuala Terengganu, Terengganu. — Pembaca Majoriti

Kehadiran mereka membuktikan semangat kebersamaan dan rasa cinta yang mendalam terhadap sekolah lama tidak pernah luntur walaupun masa telah berlalu begitu lama.

Menurut bekas pemain, Che Mohd Zulkarnain Abdul Wahab yang memulakan pengajian di SMKSS pada 1987, pertemuan kali ini lebih bermakna daripada sekadar persaingan di padang.

"Bukan untuk membuktikan pasukan atau ‘batch’ mana yang hebat dan juga bukan kembali bertemu untuk menunjuk siapa yang lebih hebat pada hari ini.

"Ianya adalah tentang pertemuan adik-beradik yang telah lama tidak bertemu setelah meninggalkan zaman persekolahan dengan haluan masing-masing ketika itu.

“Tidak pernah terpikir untuk kembali bertemu di atas padang penuh nostalgia ini yang mana hari ini kami mewakili rumah sukan masing-masing untuk kembali beraksi.

"Ianya sesuatu yang amat sentimental buat kami semua,” ujar Che Mohd Zulkarnain Abdul Wahab yang bermula di Tingkatan 1 pada 1987.

Che Mohd Zulkarnain Abdul Wahab yang memulakan pembelajaran Tingkat 1 sehingga Tingkatan 5 telah menamatkan zaman persekolahannya pada 1991. — Pembaca Majoriti

Lebih istimewa, nadi utama penganjuran program tersebut ialah bekas pelajar yang kini memimpin sekolah tersebut sebagai pengetua, Mohd Fadzli Yusoff,56, individu yang turut mempunyai sejarah panjang dalam arena ragbi negara dan pernah menjadi pengadil di kejohanan antarabangsa.

“Sebagai bekas pelajar sudah tentu masing-masing ingin kembali berbakti kepada sekolah ini dengan cara yang tersendiri. Begitu juga saya sebagai seorang guru yang kini hanya berbaki beberapa tahun lagi sebelum menamatkan perkhidmatan.

"Bukan untuk kepuasan diri, secara peribadi ianya satu tanggungjawab sosial untuk merapatkan silaturahim di antara bekas-bekas pelajar sekolah ini khususnya mereka yang sanggup menempuh perjalanan jauh untuk hadir pada hari ini.

"Sekolah ini mempunyai sejarah yang panjang dalam melahirkan atlet-atlet dalam pelbagai jenis sukan telah mahupun sehingga kini untuk beraksi di pentas kebangsaan mahupun antarabangsa.

"Begitu juga ragbi, secara tradisi dari generasi-generasi terdahulu sehingga kini meletakkan nama sekolah dari Terengganu ini setanding dengan nama-nama besar di luar sana khususnya sekolah berasrama penuh yang turut mempunyai legasi dalam sukan ragbi tanah air," kata Mohd Fadzli Yusoff yang merupakan antara watak penting dalam perkembangan sejarah ragbi negara selain pernah beraksi selaku pengadil di kejuaraan antarabangsa.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman Mohd Fadzli Yusoff (dua dari kanan) bersama rakan-rakan zaman persekolahan kembali ke padang ragbi yang terletak di sekolah itu. — Pembaca Majoriti

Dalam Kejohanan Touch Rugby Alumni SMKSS itu, sebanyak empat pasukan yang terdiri daripada Indera, Laksamana, Mahkota dan Paduka berentap bagi merebut gelaran juara.

Dalam aksi penentuan juara, pasukan Indera berjaya menewaskan Paduka untuk dinobatkan selaku juara Touch Rugby Alumni 100 Tahun SMKSS.

Sementara itu, Mahkota menamatkan saingan di tempat ketiga, diikuti Laksamana di tangga keempat.

Acara tersebut bukan sekadar mengimbau kenangan lama, tetapi juga memperkukuh semangat kebersamaan antara generasi pelajar SMK Sultan Sulaiman yang terus utuh selepas seabad kegemilangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram