Belum separuh musim, sudah ada 3 pemain terpaksa berehat lama akibat kecederaan


  • Podium
  • Ahad, 02 Nov 2025

Rahadiazli dilaporkan mengalami kecederaan pada siku kiri ketika menjalani sesi latihan bersama Sang Penyu. — Instagram/rahadiazli_01

BELUM pun separuh musim Liga Malaysia berlalu, beberapa pasukan tempatan sudah berdepan ujian besar apabila ada pemain utama mereka terpaksa direhatkan untuk tempoh panjang akibat kecederaan.

Situasi itu memberi tamparan hebat kepada perancangan taktikal jurulatih yang kini perlu mencari formula baharu bagi memastikan pasukan terus mengekalkan rentak permainan dan daya saing dalam saingan liga.

Kecederaan yang menimpa beberapa tonggak berpengalaman itu bukan sahaja menjejaskan kekuatan di posisi penting, malah turut memberi kesan kepada semangat serta moral keseluruhan pasukan yang sedang berusaha memperbaiki kedudukan semasa.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Jangan rendahkan saya', fighter Indonesia kencing baju semboyan, ludah muka punca Yusuf Azmi 'perang' awal

BACA LAGI: Kembali ke padang nostalgia', alumni ragbi SMK Sultan Sulaiman raikan 100 tahun sekolah tercinta

Lebih membimbangkan, beberapa kecederaan dilaporkan berlaku ketika aksi kompetitif yang memerlukan rawatan rapi dan tempoh pemulihan panjang.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang kini bergelut dengan masalah kecederaan dan dijangka mengambil masa sebelum kembali beraksi bersama pasukan masing-masing.

1. Sharul Nazeem (Selangor FC)

Pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar atau lebih dikenali sebagai Afro disahkan mengalami kecederaan serius pada lutut kiri ketika aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 26 Oktober lalu.

Dalam perlawanan yang berkesudahan seri tanpa jaringan itu, Sharul terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-38 dan digantikan oleh Harith Haiqal Adam Afkar selepas mengalami kesakitan ketika cuba melakukan halangan.

Pemeriksaan lanjut melalui ujian MRI mendapati pemain berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) serta meniskus, sekali gus memaksanya berehat panjang daripada aksi kompetitif.

Susulan kecederaan tersebut, Afro tidak dapat diturunkan sejak perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Negeri Sembilan FC dan bakal terlepas dua aksi penting separuh akhir Piala FA menentang Sabah FC pada 9 dan 30 November ini.

Menurut kenyataan rasmi Selangor FC, Sharul kini sedang menjalani program pra-pemulihan selama dua minggu bagi mengurangkan kesakitan dan bengkak selain meningkatkan pergerakan lutut sebelum menjalani pembedahan.

Afro dijangka kembali beraksi pada 1 Jun 2026.

Proses pembedahan dijangka melibatkan rekonstruksi ACL dan pembaikan meniskus.

Pemain pertahanan kental itu dijangka kembali beraksi sekitar 1 Jun 2026, bergantung kepada perkembangan proses pemulihan selepas pembedahan.

Sebelum kecederaan, Sharul sempat membuat 11 penampilan bersama Gergasi Merah dalam saingan Liga Malaysia dan kejohanan Asia dan menjadi antara tonggak penting dalam sistem pertahanan pasukan kendalian Christophe Gomel.

Kehilangan Sharul pastinya satu tamparan besar buat Selangor menjelang fasa penentu musim ini, namun pihak kelab menyatakan komitmen penuh untuk memastikan pemain itu mendapat rawatan dan pemulihan terbaik bagi kembali lebih kuat ke padang.

2. Enzo Lombardo (JDT)

Hasrat penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menyaksikan kelibat Enzo Lombardo kembali memperkuatkan jentera serangan Harimau Selatan musim ini masih belum kesampaian apabila pemain import dari Perancis itu sekali lagi dilanda kecederaan.

Lombardo yang dianggap sebagai pengganti ideal kepada Fernando Forestieri, tiba di Johor dengan reputasi besar hasil karier menariknya di Sepanyol bersama beberapa kelab seperti SD Huesca.

Walaupun produk bola sepak Perancis, pemain berusia 28 tahun itu membina nama di bumi Sepanyol dengan gaya permainan kreatif dan penuh imaginasi.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi pemain berketinggian 1.74 meter itu apabila selepas hanya tiga penampilan awal bersama JDT musim lalu, dia terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan ketika menentang Kuching City FC pada 27 September 2024.

Enzo hanya mencatatkan satu perlawanan bersama JDT bagi musim 2025/26.

Masalah itu berlarutan sehingga musim 2024/25 berakhir, menyaksikan Lombardo langsung tidak sempat beraksi dalam kempen Liga Malaysia 2024/25.

Lebih malang, musim 2025/26 turut menyaksikan episod sama berulang.

Dalam aksi pertamanya bersama skuad utama JDT menentang UM-Damansara United pada perlawanan timbal balik pertama pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 16 Ogos lalu, Enzo sekali lagi mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan pada hujung babak pertama.

Sejak itu, bekas bintang Huesca itu belum lagi membuat sebarang penampilan buat Harimau Selatan musim ini.

Kecederaan berulang itu pastinya memberi tamparan kepada pengendali JDT, Xisco Munoz yang sebelum ini melihat Enzo sebagai antara watak penting dalam perancangan taktikal pasukan menjelang kempen domestik dan Asia.

3. Rahadiazli Rahalim (TFC)

Kem Terengganu FC (TFC) menerima tamparan hebat apabila penjaga gol utama mereka, Rahadiazli Rahalim disahkan mengalami kecederaan dislokasi siku kiri (Left Elbow Dislocation) ketika menjalani sesi latihan bersama pasukan pada Rabu lalu.

Menurut kenyataan pasukan, pemain berusia 23 tahun itu kini sedang menjalani rawatan dan pemantauan rapi daripada pasukan perubatan TFC bagi memastikan proses pemulihannya berjalan lancar. 

Untuk rekod, Rahadiazli atau lebih dikenali sebagai Abe hanya sempat beraksi selama enam minit ketika menentang Melaka FC dalam saingan Liga Super 2025/26 pada 25 September lalu, sebelum digantikan akibat kecederaan.

Rahadiazli dilaporkan mengalami kecederaan pada siku kiri ketika menjalani sesi latihan bersama Sang Penyu. Facebook/TFC

Sejak diserap ke skuad utama Sang Penyu seawal usia 19 tahun, Abe sering dilihat sebagai antara penjaga gol muda paling berbakat dalam kancah bola sepak tempatan. Ketenangannya di gawang dan keupayaan membuat keputusan pantas menjadikannya pilihan utama di bawah tiang gol Terengganu.

Kemuncak kariernya setakat ini hadir ketika saingan separuh akhir Piala FA 2022, apabila Rahadiazli muncul wira pasukan selepas menafikan dua sepakan penalti pemain Selangor FC dalam penentuan penalti yang mendebarkan.

Kecederaan terbaharu ini sudah pasti memberi tamparan buat pengendali TFC, Badrum Afzan Razali yang kini perlu mencari pengganti sesuai bagi mengisi kekosongan di benteng terakhir pasukan menjelang aksi penting dalam saingan domestik.

Walaupun belum diumumkan tempoh sebenar dia bakal berehat, Rahadiazli dijangka memerlukan masa beberapa minggu sebelum kembali ke padang, satu tempoh yang cukup mencabar buat penjaga gol muda yang sebelum ini menjadi antara tonggak utama kebangkitan Terengganu FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram