PASUKAN Malaysia terus mencipta sejarah dalam arena golf korporat antarabangsa apabila muncul naib johan di World Corporate Golf Challenge (WCGC) World Final 2025 yang berlangsung di Dongzhuang Beach Golf Club, Shanghai bermula 19 hingga 23 Oktober lalu.
Edisi ke-32 kejohanan berprestij itu menghimpunkan pasukan-pasukan korporat dari seluruh dunia dan menjadi platform penting yang menggabungkan semangat kesukanan, jaringan perniagaan global serta pertukaran budaya.
Pasukan Malaysia yang diwakili oleh Isyraf Widad Muhammad Ikmal Opat dan Muhammad Adib Ibrahim dari Widad Skycore (M) Sdn Bhd menampilkan prestasi luar biasa sepanjang kejohanan tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Sampai didukung keluar stadium, Selangor FC sahkan Sharul Nazeem cedera ACL

Malaysia mencipta sejarah dalam arena golf korporat antarabangsa apabila muncul naib johan di World Corporate Golf Challenge (WCGC) World Final 2025.
Dua pemain itu berjaya menamatkan saingan di tempat kedua dengan 80 mata, hanya satu mata di belakang pasukan tuan rumah, Guojiao 1573 Team 2, yang dinobatkan sebagai Juara Dunia WCGC 2025 dengan 81 mata.
Satu lagi pasukan China, Guojiao 1573 Team 1 menduduki tempat ketiga dengan 79 mata.
Kejayaan membanggakan itu bukan sahaja mengiktiraf kecekapan dan semangat juang tinggi pasukan Malaysia tetapi turut menonjolkan kemampuan pemain golf korporat negara bersaing di peringkat dunia.
Turut mewakili Malaysia ialah Team Leonian Malaysia yang dibarisi Anushka Gayan dan Lee Robert yang menamatkan saingan di tempat kelima dengan 74 mata selepas dua hari perlawanan yang sengit.
Dengan tema 'Bringing the World of Golf & Business Together', WCGC 2025 terus memperkukuh reputasinya sebagai kejohanan golf korporat paling berprestij di dunia.

Gandingan dari Malaysia yang mewakili negara di China.
Selain pertandingan utama, para peserta turut menikmati pelbagai acara sosial dan rasmi, termasuk Sports Legends Cup yang menampilkan kemunculan bekas atlet profesional, acara Welcome Dinner Cruise di Sungai Huangpu, serta Majlis Gala Makan Malam dan Anugerah di hotel mewah Pudong Shangri-La.
Pertandingan kali ini berlangsung di dua padang golf berprestij iaitu Linksland dan Parkland yang terkenal dengan reka bentuk strategik serta pemandangan yang memukau.
Lebih daripada sekadar kejohanan golf, WCGC World Final menjadi medan memperkukuh rangkaian global, membina hubungan perniagaan baharu serta mengukuhkan komuniti golf korporat antarabangsa yang terus berkembang pesat.
Kejayaan Widad Skycore Malaysia di Shanghai ini sekali lagi membuktikan bahawa pemain golf korporat tanah air mampu berdiri sama tinggi di pentas dunia, satu pencapaian yang pasti menyuntik semangat untuk kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
