KEMENANGAN selesa direkodkan Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Jumaat apabila mereka menundukkan pasukan tuan rumah 5-0.
Tiga mata diraih itu menyaksikan skuad Harimau Selatan kini mempunyai jurang selesa berbanding pencabar terdekat, Kuala Lumpur (KL) City FC.
Jumlah jaringan kelab Selatan tanah air itu berada dalam prestasi terbaik dengan 48 gol sudah dicetak atau purata kira-kira lima gol setiap perlawanan.
BACA LAGI: DPMM belum setahap JDT, tiba masanya Munoz berikan 3 bintang tersisih minit permainan
BACA LAGI: 'Fokus pemain sedia ada', Xisco Munoz tenang jawab isu 3 pemain warisan

Munoz pada awalnya dikritik selepas beberapa persembahan mengecewakan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Dalam aspek pertahanan pula, JDT juga berada dalam kelas tersendiri selepas kemenangan ke atas Terengganu FC menyaksikan mereka kini merekodkan tujuh 'clean sheets' direkodkan berturut-turut di pentas Liga Super.
Kredit besar harus diberikan terhadap pengendali, Xisco Munoz yang berjaya menepis pandangan serong dilontarkan penyokong sendiri pada awal musim.
Ini selepas pertahanan JDT dibolosi sebanyak tiga kali ketika kunjungan Negeri Sembilan FC yang meskipun berakhir dengan kemenangan 5-3, ia adalah jauh dari standard sebenar skuad Harimau Selatan.
Lebih teruk lagi, kekalahan juara bertahan Liga Super itu kepada Buriram United dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite mula memberi tekanan sehingga ada yang mendesak pengendali dari Sepanyol berkenaan disingkirkan.

Skuad Harimau Selatan terus mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Penggiliran pemain dalam kesebelasan utama turut dibangkitkan sesetengah penyokong yang hairan dengan keputusan menurunkan Jairo da Silva lebih kerap berbanding legenda kelab, Bergson yang juga merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super.
Bagaimanapun, kritikan dilontarkan itu tidak menggoyahkan pendirian pihak pengurusan untuk terus mencurahkan kepercayaan buat Munoz dalam meneruskan dominasi skuad Harimau Selatan.
Keputusan tersebut mula membuahkan hasil dengan JDT kini semakin sukar dicabar di pentas domestik apabila mereka 'gayat' di persada Liga Super selain sudah menempah tiket ke separuh akhir Piala FA.
Malah, sekiranya dibandingkan dengan musim-musim terdahulu, statistik dimiliki skuad Harimau Selatan adalah jauh lebih baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Skuad Harimau Selatan meraih tiga mata penuh ketika berkunjung ke China bagi aksi ACL Elite. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Selain itu, beberapa keputusan mengejutkan turut dicatatkan seperti kemenangan 10-0 ke atas Brunei DPMM, 8-0 ke atas Sabah FC dan 7-0 ketika berdepan PDRM FC menceritakan bagaimana JDT cukup dahaga di hadapan pintu gol lawan.
Di pentas ACL Elite pula, permulaan sedikit kekok berjaya diatasi kerana mereka kini sudah berada dalam kelompok lapan teratas dengan kedudukan itu memastikan kemaraan ke pusingan kalah mati.
Kemenangan ketika berkunjung ke China untuk berdepan Chengu Rongcheng menceritakan bagaimana JDT tidak lagi berharap dengan kelebihan beraksi di laman sendiri dan mula berani setiap kali bertandang ke tempat lawan.
Tidak terhenti di situ, sebuah lagi aspek permainan Munoz yang wajar dipuji adalah cara diterapkan untuk memastikan setiap pemain dapat menghasilkan impak terbesar.

Jairo berjaya membuktikan nilai dirinya bersama skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Jairo yang pada awalnya dikritik kerana sukar memberi impak dalam jentera serangan sudah mula menyesuaikan diri dengan 10 gol dan dua bantuan jaringan diperoleh dalam hanya lapan penampilan Liga Super.
Bek kiri, Jonathan Silva yang pada awalnya kurang digemari penyokong juga semakin mengesahkan tempat dalam kesebelasan utama meskipun Corbin Ong masih bersedia untuk beraksi secara kerap.
Prestasi memberangsangkan secara berpasukan mahupun dalam aspek individu menceritakan Munoz berada di kelas tersendiri dengan dia adalah calon terbaik untuk memimpin JDT.
Namun, seperti mana pernah ditonjolkan setiap pengendali skuad Harimau Selatan, prestasi terbaik hanya boleh dinilai berdasarkan sejauh mana perjalanan pasukan itu di pentas ACL Elite.
Sekiranya Munoz dapat melakar sejarah baharu, ini sekali gus meletakkan namanya sebagai antara jurulatih paling cemerlang pernah membimbing kelab terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
