Lebih baik hantar anak main bola sepak, Matyo kongsi suruh anak 'uninstall' Roblox


  • Podium
  • Ahad, 02 Nov 2025

Mat Yo menekankan pentingnya ibu bapa memastikan anak-anak terlibat dengan aktiviti sukan seperti bola sepak bagi mengelakkan mereka terlalu bergantung kepada dunia maya.

BEKAS penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo menasihatkan ibu bapa agar lebih peka terhadap aktiviti digital anak-anak selepas tular kejadian tragis membabitkan dua beradik di Batu Pahat, Johor yang dipercayai berpunca daripada permainan dalam talian Roblox.

Insiden itu berlaku pada Isnin lalu apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun parah selepas diserang dengan objek tajam oleh abangnya berusia sembilan tahun.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad, siasatan awal mendapati insiden berkenaan tercetus selepas mangsa didakwa menyebabkan abangnya kehilangan semua markah permainan dalam Roblox. Namun, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.

BACA LAGI: Susulan insiden dua beradik di Batu Pahat, kerajaan pertimbang larangan Roblox demi keselamatan kanak-kanak

BACA LAGI: Pengaruh 'games' dikhuatiri punca budak jadi ganas, Malaysia patut ikut jejak Barat haramkan Roblox

Mengulas mengenai isu tersebut, Mat Yo mengakui beliau dan isterinya telah mengambil tindakan segera untuk menghentikan anak-anak mereka daripada bermain permainan tersebut selepas menyedari risikonya terhadap emosi dan tingkah laku kanak-kanak.

“Untuk anak-anak saya pun, sebelum ni mereka ada main juga Roblox. Saya dan isteri memang pantau, tapi selepas kejadian yang berlaku baru-baru ni, kami terus berhenti serta-merta.

“Telefon pun ada had masa. Bila kami jelaskan kepada mereka, anak-anak terus padam akaun Roblox dan game lain yang tak sesuai,” katanya kepada Majoriti.

Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut menekankan pentingnya ibu bapa memastikan anak-anak terlibat dengan aktiviti sukan seperti bola sepak bagi mengelakkan mereka terlalu bergantung kepada dunia maya.

“Kalau boleh, biarlah anak-anak dekat luar sana sertai akademi bola sepak dari peringkat akar umbi (grassroots). Sekurang-kurangnya mereka boleh keluarkan peluh dan belajar ilmu baru.

“Walaupun anak tak minat bola, ibu bapa boleh bawa mereka ke padang, bagi peluang mereka belajar asas sukan. Itu lebih bermanfaat daripada duduk depan skrin sepanjang masa,” jelasnya.

Budak lelaki itu dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail.

Tambah Mat Yo, aktiviti sukan bukan sahaja membantu perkembangan fizikal, malah mengajar nilai disiplin, kerja berpasukan, dan mengurangkan tekanan emosi yang sering dialami kanak-kanak akibat pendedahan berlebihan kepada permainan dalam talian.

“Daripada bermain game yang kita sendiri tak tahu apa kandungannya, lebih baik anak-anak aktif dan belajar sesuatu. Itu pun satu bentuk pendidikan,” ujarnya.

Mengulas tentang peranan pihak berkuasa dan ibu bapa dalam menangani isu permainan berisiko seperti Roblox, Mat Yo berpandangan bahawa tanggungjawab tersebut perlu dipikul bersama.

“Saya tak boleh nak kata kerajaan kena sekat atau ibu bapa yang salah. Bagi saya, semua pihak kena ambil tanggungjawab dan serius dalam hal ni. Tak boleh nak tuding jari 100% kepada ibu bapa saja,” katanya.

Mat Yo antara pemain berpengaruh Liga Malaysia.

Menurutnya, walaupun sibuk dengan urusan kerja, beliau tetap menitikberatkan soal kesejahteraan anak-anak dan tidak mahu mereka terdedah kepada pengaruh negatif dunia digital.

“Saya sendiri sebelum ni pun tak tahu sangat pasal Roblox, anak saya yang bagitahu. Mungkin isteri lebih tahu sebab saya banyak di luar. Tapi bila tahu apa yang jadi, kami ambil tindakan segera.

“Kita tak nak isu macam di Batu Pahat tu berulang. Jadi lebih baik kita cegah awal sebelum jadi sesuatu yang lebih teruk,” tambahnya.

Mat Yo yang kini aktif melatih dan membangunkan bakat muda dalam bola sepak akar umbi, berharap kejadian di Batu Pahat menjadi pengajaran penting buat ibu bapa agar tidak memandang ringan pengaruh permainan dalam talian terhadap anak-anak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram