Susulan insiden dua beradik di Batu Pahat, kerajaan pertimbang larangan Roblox demi keselamatan kanak-kanak


  • Bonda
  • Sabtu, 01 Nov 2025

Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kerajaan sedang meneliti kemungkinan untuk mengharamkan platform permainan dalam talian popular, Roblox.

KERAJAAN sedang meneliti kemungkinan untuk mengharamkan platform permainan dalam talian popular, Roblox susulan kebimbangan terhadap keselamatan serta kandungan yang dikhuatiri boleh mempengaruhi minda dan tingkah laku kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan dan keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas meneliti langkah yang bakal diambil oleh Australia berhubung platform berkenaan pada Disember ini.

“Kami sedang memantau rapat bagaimana Australia melaksanakan peraturan baharu itu. Mereka masih di peringkat perancangan dan belum dikuatkuasakan. 

"Malaysia akan menilai sama ada pendekatan itu sesuai dengan konteks serta norma budaya tempatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Latihan dan Simulasi Pusat Pemindahan Sementara pada Sabtu. 

BACA LAGI: Berang telefon dirosakkan adik, polis tak tolak kemungkinan Roblox punca budak lelaki dikelar di Parit Raja

BACA LAGI: 'Wanita OKU bangkit, ibu berniaga sambil jaga anak', bisnes makin maju bimbingan Usahanita Digital, tembus pasaran Brunei, China

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian tragis membabitkan dua beradik di Batu Pahat, Johor, apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun parah selepas diserang dengan objek tajam oleh abangnya berusia sembilan tahun pada Isnin lalu.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad, siasatan awal mendapati insiden itu berlaku selepas mangsa didakwa menyebabkan abangnya kehilangan semua markah permainan dalam Roblox. 

Bagaimanapun, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, Nancy menjelaskan bahawa kerajaan Australia kini dalam proses menggubal sekatan terhadap penggunaan Roblox bagi pengguna berusia 16 tahun ke bawah, selepas platform tersebut dikaitkan dengan beberapa insiden yang mencetuskan perhatian antarabangsa.

“Tidak dinafikan kemajuan teknologi seperti ini boleh memberi kesan terhadap tingkah laku. Sebab itu kita perlu berhati-hati dan belajar daripada pengalaman negara lain sebelum membuat keputusan,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan akan mengambil pendekatan seimbang antara memelihara keselamatan kanak-kanak dan menyokong perkembangan dunia digital, bagi memastikan setiap keputusan dibuat berpaksikan kepentingan masyarakat. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram