SUAMI kepada Ismanira Abdul Manaf, Zaim Ikhwan Zahari mengamuk di mahkamah selepas isterinya dihantar ke Penjara Kajang apabila didapati bersalah atas tuduhan mengabaikan penjagaan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin dua tahun lalu.
Zaim yang berada di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat untuk mendengar hasil perbicaraan dilihat menjerit "semoga kau dilaknat" selepas mengetahui Ismanira dihukum penjara selama lima tahun.
Dia kemudiannya terpaksa ditenangkan oleh ahli keluarga selepas mendengar keputusan perbicaraan tersebut.
BACA LAGI: Ibu Zayn Rayyan didapati bersalah
BACA LAGI: Masih bertali pusat, JKM cari waris bayi 'istimewa' ditinggalkan di hentian bas Melaka

Ismanira dihukum penjara lima tahun serta dua hukuman lain. — Agensi
Dalam masa yang sama, ibu kepada Zaim turut tidak berpuas hati dengan salah seorang pegawai polis yang menguruskan kes tersebut.
Ketika di mahkamah, ibu Zaim turut menjerit, "puaslah hati kau, botak!" kepada pegawai tersebut.
Suasana tegang itu berlaku selepas keluarga Zaim tidak berpuas hati dengan keputusan oleh Hakim Dr Syahliza Warnoh menolak rayuan oleh pasukan pendakwaan untuk menangguhkan hukuman penjara lima tahun Ismanira.
Sebelum ini, Ismanira didapati bersalah atas kesalah mengabaikan penjagaan Zayn Rayyan dan dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun serta dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun.
Dia juga perlu menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam masa enam bulan selepas dibebaskan.
Ismanira dihukum mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun, denda RM50,000, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Zayn Rayyan, berusia 6 tahun, dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 dengan mayatnya ditemui keesokan harinya di sebuah anak sungai berhampiran kediamannya di Damansara Damai, Selangor. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
