Masih tak rasa selamat, pertahanan Kuching City risau kelincahan penyerang TFC


  • Podium
  • Isnin, 27 Okt 2025

Yann Mabella (kanan) merupakan watak bahaya yang perlu diperhatikan oleh Kuching City.

WALAUPUN sudah mempunyai kelebihan tiga gol hasil aksi suku akhir pertama Piala FA, Kuching City FC berasakan mereka belum selamat menjelang pertemuan timbal balik menentang Terengganu FC pada Selasa.

The Cats yang meraih kemenangan 4-1 di laman lawan pulang semula ke gelanggang sendiri dengan kelebihan untuk ke separuh akhir.

Namun bagi pertahanannya, Yuki Tanagawa, dia menjangkakan Terengganu akan kembali mengganas terutamanya menerusi penyerang import, Yann Mabella.

BACA LAGI: Pastikan sahih sebelum ‘lamar’ Josh Robinson, ambil iktibar kisah 7 pemain warisan

BACA LAGI: Kebal di puncak, Gary Neville pasti Arsenal akhirnya akan menang EPL

Yuki Tanagawa

Bagi Tanagawa, Mabella merupakan pusat kepada segala ancaman yang boleh ditonjolkan oleh barisan serangan Terengganu kepada Kuching.

"Pemain nombor 11, Yann Mabella mempunyai kelincahan tersendiri. Kali terakhir saya menentangnya, dia memang ada kelajuan dan kawalan bola yang baik. Saya sedikit bergelut ketika itu, jadi kali ini saya perlu lebih fokus dan berikan yang terbaik.

"Tidak kisah kami ada empat gol sebelum ini, tapi dalam suku akhir kedua ini, kami akan bermain seperti ia satu permulaan baharu," kata Tanagawa menerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Kuching musim ini mempunyai kempen yang baik dalam Liga Super apabila mereka setakat ini menduduki tempat ketiga dengan mengumpul 14 mata.

Dalam Piala FA, mereka juga mahu melakukan perkara serupa dengan mengharungi kempen dengan baik dengan mara ke separuh akhir adalah sasaran kelab Sarawak itu.

"Bermain liga dan piala adalah berbeza, jadi kemenangan esok sangat penting untuk kami yang ingin memburu slot di separuh akhir.

"Kami hanya perlu fokus kepada perlawanan ini dahulu dan jika berpeluang, mungkin selepas itu kami akan bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di separuh akhir," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram