NAMA Laikha Macwilson yang kini bergelar pemain dan pada masa sama merupakan pengendali pasukan wanita Bond University di Australia kian mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan.
Dia yang merupakan adik kepada artis ternama negara, Zahirah Macwilson dinobatkan jurulatih terbaik dalam kategori komuniti pada Anugerah Queensland Football Gala yang membuktikan kebolehannya di tepi padang.
Pencapaian tersebut dilakar setelah pelbagai kejayaan dikecapi sejak mengendalikan pasukan berkenaan tahun lalu, seperti membawa mereka ke Divisyen 1 dan mara ke peringkat Grand Final.
BACA LAGI: Aiman Hakim antara 3 pelakon pernah bergelar pemain bola sepak sebelum gegar industri filem

Laikha (empat dari kiri) menjadi watak utama buat Bond University. — Instagram/Laikha Macwilson
Rekod demi rekod yang dicatatkan di Australia itu sekali gus membuka mata peminat bola sepak wanita tempatan yang berbangga atas kebolehan bakat tanah air di negara asing.
Namun, baginya, dia masih meletakkan cita-cita besar untuk beraksi buat pasukan negara selain teruja kerana bola sepak wanita terus meraih reputasi tersendiri.
"Saya pernah bermain di Malaysia sebelum ini, tetapi kelembapan (dan cuaca di sana) panas sangat. Saya berdarah kacukan English-Melayu, tetapi saya cukup tertarik untuk beraksi buat Malaysia.
"Saya rasa ia adalah sesuatu yang hebat apabila bola sepak wanita semakin terkenal, terutamanya di England, Eropah dan Australia. Saya juga berpandangan ia sedang berkembang di Malaysia," katanya kepada Majoriti.

Laikha yang mengendalikan pasukan wanita Bond University tercalon dalam anugerah jurulatih terbaik.
Jelas pemain berusia 27 tahun itu, liputan media berhubung sukan tersebut serta pengiktirafan diberikan terhadap pemain merupakan perkara yang baik untuk disaksikan.
Dia juga berkongsi keputusannya untuk menceburi bidang kejurulatihan adalah dibuat atas faktor kecederaan meskipun pada awalnya kurang yakin akan kebolehan dan pengalamannya.
"Untuk 14 tahun, saya memberi tumpuan untuk hanya beraksi dan tidak berminat untuk bergelar jurulatih kerana berasakan tidak mempunyai pengetahuan mencukupi sehingga saya cedera dan terpaksa berehat bagi menjalani pembedahan lutut.

Skuad Malayan Tigress perlu memanfaatkan kebolehan Laikha di dalam mahupun di tepi padang.
"Saya masih mahu terlibat dalam bola sepak dan seseorang mencadangkan saya supaya menceburi dunia kejurulatihan. Jadi, saya mula terlibat pada 2024 sebelum kembali beraksi sementara masih memikul peranan itu," katanya lagi.
Selain aktif di atas padang, Laikha berkata dia merupakan penuntut di Griffith University yang terletak di Selatan Brisbane dengan institut pendidikan tersebut merupakan pesaing utama Bond University.
Bakat dimiliki Laikha sama ada sebagai pemain mahupun jurulatih perlu dipandang tinggi pencari bakat bola sepak tempatan kerana kepakarannya hanya akan disia-siakan jika tidak dipandang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
