'Saya dilahirkan di England tetapi berdarah warisan Malaysia', adik Zahirah Macwilson muncul jurulatih bola sepak terbaik di Australia


  • Podium
  • Rabu, 29 Okt 2025

Laikha kini bermain untuk kelab Gold Cost Bond University di Australia. — Instagram/Laikha

WALAUPUN isu pemain warisan baru-baru ini menimbulkan rasa trauma dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air untuk menerima tonggak berdarah campuran, namun ia tidak menghalang mereka daripada terus menjejaki bakat berdarah Malaysia yang beraksi di luar negara.

Terbaharu, laman penyokong Harimau Abroad di platform X, yang sememangnya dikenali dengan usaha mengesan pemain warisan, berjaya menemui seorang lagi tonggak berdarah campuran berpotensi untuk memperkuatkan skuad bola sepak wanita negara.

Berdasarkan hantaran laman itu baru-baru ini berkongsi profil Laikha Macwilson iaitu seorang pemain bola sepak wanita yang kini bermain untuk kelab Gold Cost Bond University di Australia.

BACA LAGI: FAM lantik Tun Md Raus ketuai jawatankuasa bebas siasat skandal pemain warisan

BACA LAGI: Pastikan sahih sebelum ‘lamar’ Josh Robinson, ambil iktibar kisah 7 pemain warisan

Laikha bukan sahaja pemain utama, malah merupakan ketua pasukan kelab tersebut dan telah memulakan karier kejurulatihan dengan memegang jawatan sebagai pengendali pasukan wanita Bond University Soccer sejak 2024.

Menariknya, laman rasmi kelab itu baru-baru ini mengumumkan bahawa Laikha akan kembali membimbing pasukan wanita Bond University bagi musim 2025 selepas berjaya membawa kelab itu mencipta sejarah luar biasa musim lalu.

"Selepas membantu pasukan meraih promosi ke Divisyen 1, menamatkan saingan di tempat kedua liga dan mara ke peringkat Grand Final, Laikha kini bersemangat untuk menghadapi musim baharu bersama pasukannya,” kata Bond University di media sosial.

 

 

Kecemerlangannya diiktiraf apabila dia dinobatkan sebagai 'Coach of the Year' dalam kategori jurulatih komuniti pada Anugerah Queensland Football Gala, menjadikannya antara jurulatih muda wanita paling menonjol di wilayah tersebut.

Lebih membanggakan, Laikha turut mencipta nama apabila memenangi kejuaraan South Coast Senior Women Division 1 tahun 2025 di Queensland, selain aktif dalam arena futsal wanita di peringkat komuniti Australia.

Dalam satu kenyataan, Laikha mengesahkan mempunyai darah Malaysia menerusi ibunya yang merupakan warganegara Malaysia, selain turut mendedahkan bahawa dia ialah adik kepada pelakon terkenal tanah air, Zahirah Macwilson.

 

 

"Hai, saya dilahirkan di England tetapi mempunyai darah keturunan Malaysia. Kakak saya ialah Zahirah Macwilson," katanya menerusi tangkap layar perbualan bersama laman Instagram, Women Football Malaysia.

Penemuan itu sekali lagi membuktikan bahawa masih ramai pemain berdarah Malaysia di luar negara yang berpotensi untuk diketengahkan dalam skuad kebangsaan termasuk dalam bola sepak wanita yang kini sedang giat dibangunkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Dengan pengalaman dan pencapaian cemerlang di peringkat antarabangsa, kehadiran Laikha dilihat mampu memberi nilai tambah sekiranya dia mendapat peluang untuk menyarung jersi skuad Malayan Tigress pada suatu hari nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram