[VIDEO] Disamakan awan guling Dragon Ball, misteri gumpalan hitam berbau gemparkan penduduk Subang


  • Benua
  • Khamis, 30 Okt 2025

Penduduk di Subang mendakwa awan hitam tersebut berbau dan dikhuatiri membawa bahan kimia berbahaya.

TULAR sebuah kejadian di Subang, Jawa Barat, Indonesia apabila beberapa gumpalan seakan-akan awan berwarna hitam gugur dan bertebaran di daerah berkenaan baru-baru ini.

Fenomena tersebut sempat dirakam penduduk setempat yang khuatir akan kejadian terbabit dengan menyatakan objek tidak dikenali itu berbau busuk dengan asal-usulnya tidak dapat dipastikan.

Berdasarkan video tular di media sosial, objek itu kelihatan seakan-akan sama dengan awan guling yang pernah terkenal dalam siri animasi Dragon Ball seperti mana pernah digunakan Goku.

BACA LAGI: [VIDEO] Bola api gegarkan Jawa Barat, ahli astronomi sahkan serpihan meteor jatuh di kawasan tol

BACA LAGI: Sesi persekolahan di Jawa Barat bermula seawal 6.30 pagi berkuat kuasa Julai

Perkara tersebut menerima perhatian pihak berkuasa, termasuk daripada Ketua Stesen Geofizik Kelas I Bandung, Teguh Rahayu yang masih dalam proses mengenal pasti asal-usulnya.

Malah, jelasnya, fenomena itu tidak berpunca daripada sebarang kejadian alam semula jadi dan sebaliknya berpunca daripada aktiviti industri di kawasan berkenaan.

Sekiranya terhasil di kilang berhampiran, ia boleh berubah menjadi buih atau bahan yang bersifat ringan dan kemudiannya dibawa angin pada hari berkenaan.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) di negara berkenaan juga sudah menyerahkan perkara tersebut kepada agensi yang dapat mengumpul maklumat lebih mendalam.

Objek berkenaan bertebaran di daerah tersebut selepas pada awalnya kelihatan di langit.

"Untuk mengenal pasti punca dan kandungan objek tersebut, kami menyarankan agar siasatan dibuat pihak berkaitan seperti badan alam sekitar setempat atau Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB)," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Agensi Alam Semulajadi di Jawa Barat, Ai Saadiyah Dwidaningsih berkata, agensi terbabit belum menerima aduan mengenai kejadian terbabit.

Bagaimanapun, pihaknya kini sedang dalam proses mengenal pasti punca serta kandungan objek berkenaan dan akan memberitahu masyarakat mengenai sebarang maklumat terkumpul.

Sekiranya awan hitam itu adalah berpunca daripada sebarang aktiviti industri berhampiran, agensi tersebut akan mengenakan denda yang setimpal terhadap mana-mana pihak bertanggungjawab.

Ai Saadiyah turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyentuh objek tidak dikenali itu kerana khuatir kandungannya boleh membawa kesan buruk terhadap kesihatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram