BAGI ibu bapa yang mempunyai anak istimewa, khususnya dalam spektrum autisme, aktiviti seperti membeli-belah sering kali menjadi cabaran besar.
Bunyi bising, cahaya terang dan suasana sesak di pusat beli-belah boleh menyebabkan anak mudah terangsang deria serta berasa tertekan.
Namun, langkah proaktif sebuah pusat beli-belah di Malaysia yang menyediakan bilik tenang (calm room) khusus untuk membantu kanak-kanak autisme dan individu yang mengalami tekanan deria menarik perhatian dunia termasuk seorang rakyat Amerika Syarikat.
Menerusi hantaran di aplikasi Threads, Dr. Breigh memuji keprihatinan Malaysia dalam menjaga kesejahteraan komuniti istimewa itu.
"Membeli-belah boleh menjadi sangat meletihkan. Saya sangat teruja apabila Malaysia sedar tentang perkara ini dan menghormati keperluan tersebut," katanya.
Wanita itu turut menzahirkan rasa kagum terhadap nilai empati dan budaya masyarakat Malaysia yang disifatkan penuh dengan perhatian serta kasih sayang terhadap semua golongan.
"Saya terpesona dengan budaya Malaysia, inilah bilik tenang di pusat beli-belah untuk mereka yang menghidap autisme (dan juga sesiapa yang berasa tertekan).
"Saya suka bagaimana keprihatinan, rasa tanggungjawab komuniti dan keutamaan diberikan. Sangat indah apabila sesuatu dicipta dengan kita dalam fikiran terutamanya bagi golongan yang sering terpinggir dan tidak dipedulikan," tulisnya
Hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada warga maya tempatan yang berasa bangga dengan kemudahan itu.
Ramai menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai bukti Malaysia semakin peka terhadap keperluan komuniti istimewa dan berusaha mewujudkan masyarakat lebih inklusif.
Menjengah ke ruangan komen, pengguna media sosial @kakacrackr turut berkongsi bahawa kemudahan seperti itu bukan sahaja terdapat di pusat beli-belah, malah turut disediakan di lapangan terbang negara.
“Lapangan terbang kita pun ada sesuatu yang dipanggil Butterfly Effect,” tulisnya, merujuk kepada ruang khas bagi individu autisme di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang Selangor.
Usaha seperti itu menunjukkan Malaysia semakin ke hadapan dalam memahami serta meraikan kepelbagaian keperluan masyarakat.
Ia bukan sahaja menyediakan kemudahan fizikal, tetapi turut menzahirkan nilai kemanusiaan dan keprihatinan terhadap kesejahteraan emosi serta sensori golongan istimewa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
