KEJAYAAN Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan sekadar terhad kepada skuad utama yang merangkul kejuaraan Liga Super 11 kali berturut-turut, malah turut terserlah di peringkat akar umbi melalui kecemerlangan akademi bola sepaknya.
Antara bintang muda yang mula menyerlah hasil usaha pencarian bakat skuad Harimau Selatan ialah Muhammad Aqil Mohd Shamsul Aswadi, atau lebih dikenali sebagai Aqil, yang kini menjadi sebutan peminat bola sepak tanah air.
Nama remaja berusia 15 tahun itu mula tular pada tahun 2023 selepas satu video memaparkan aksinya dalam perlawanan menentang pemain lebih berusia dikongsi oleh TFC Data Hub di Facebook.
BACA LAGI : Bagaikan hilang 'taring', 2 bekas penggempur HM belum berjaya ledak gol untuk kelab masing-masing di Liga M
BACA LAGI : Angka tak menipu, Jairo buktikan diri mampu jadi aset utama JDT walau kerap dikritik
Ketika itu, gaya permainan Aqil yang tenang mengawal bola dan bijak melakukan hantaran menarik perhatian pencari bakat JDT, yang tidak menunggu lama untuk membawa remaja itu menyertai akademi mereka.
Dua tahun kemudian, Aqil kini menjadi tunjang kepada pasukan JDT V, malah sekali lagi mencuri perhatian selepas menjaringkan gol ketika menentang Terengganu FC (TFC) dalam saingan Youth Cup 2025, baru-baru ini.

Aqil mula menyertai Akedemi JDT ketika berusia 13 tahun.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Penyokong Sukan Johor (PSJ), Aqil yang beraksi di posisi tengah menjaringkan gol hasil hantaran lintang cantik dalam aksi penuh bertenaga itu.
"Adik Aqil adalah d iantara contoh pemain muda yang berbakat besar dan sedia untuk di asah lagi bakatnya yang kini berada di Akademi Bolasepak JDT.
"Baru berumur 15 tahun . Lihatlah kemajuan pada diri beliau kini .
"Apapun ruang dan peluang sudah diberikan terpulang pada tuan badan samaada serious untuk menjadi pemain profesional atau sekadar bermain untuk glamour (yang berkasut berjenama dan berambut stylo) yang cukup masa impian terkubur . Ibarat Mat Jenin dengan angan-angannya," tulis PSJ dalam hantaran tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat turut memuji kemajuan yang ditunjukkan oleh Aqil sejak video tularnya dua tahun lalu.
Seorang pengguna Facebook, Fikril Amri Ams berkata, dia teruja melihat perkembangan pemain muda itu yang pernah tular sebelum ini dan kini menunjukkan kematangan dalam permainan.
"Budak viral (tular) yang pernah diambil scout JDT dulu, memang mantap penyudahnya," katanya.
Sementara itu, pengguna lain, Fique Afiq turut menyamakan bakat Aqil dengan bintang sensasi Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi.
"The next Arif Aiman," tulisnya.
Melihat kepada bakatnya yang kian menyerlah, Aqil kini dilihat antara prospek paling cerah dalam barisan pemain muda yang mampu mengikut jejak langkah bintang utama JDT.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
