Ambil peluang kecederaan Afro, Sabah ada peluang tundukkan Selangor di laman sendiri


  • Podium
  • Rabu, 29 Okt 2025

Skuad Sabah FC perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila melayan kunjungan Selangor FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas. — Facebook/SabahFC

SABAH FC berpeluang meraih kemenangan berharga ke atas Selangor FC apabila kedua-dua pasukan dijadualkan berentap dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Sabtu ini. 

Perlawanan itu dijangka sengit, namun ketiadaan tonggak pertahanan import Selangor, Sharul Nazeem, yang dilaporkan mengalami kecederaan semasa perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC, dijangka memberi sedikit kelebihan kepada skuad The Rhinos untuk menekan pelawat dari awal permainan.

Kehilangan Sharul Nazeem yang lebih dikenali sebagai Afro itu bukan sahaja menjejaskan kekuatan pertahanan, malah turut memberi kesan kepada organisasi dan keseimbangan keseluruhan pasukan.

BACA LAGI : [VIDEO] ‘Bukan setakat rambut stailo pakai but berjenama’, prospek JDT kini dilabel ‘the next Arif Aiman’

BACA LAGI : Bagaikan hilang 'taring', 2 bekas penggempur HM belum berjaya ledak gol untuk kelab masing-masing di Liga M

Susulan daripada itu, berkemungkinan ketua jurulatih sementara Selangor FC, Christophe Gamel, menukar corak permainan pasukan Red Giants. 

Sebagai ganti, posisi itu dijangka diisi pemain muda Moses Raj, yang masih baru menyesuaikan diri dengan intensiti saingan Liga Super.

Jika melihat kepada statistik terkini, Moses yang berusia 20 tahun itu hanya baru sekali diturunkan ketika menentang Malaysian Univercity pada aksi pertama pusingan 16 Piala FA Ogos lepas. 

Pada perlawanan tersebut, Moses yang diturunkan sebagai kesebelasan utama membantu Selangor FC menang 3-1.  

Walaupun Moses mempunyai potensi besar, ketiadaan pengalaman di pentas besar dijangka menjadi sasaran utama serangan Sabah yang kini perlu bermain agresif demi mencari tiga mata.

Situasi itu memberi kelebihan taktikal buat Sabah untuk menekan bahagian pertahanan Selangor sejak wisel pertama, terutama dengan kehadiran penyokong fanatik di Likas yang pasti menghangatkan suasana.

Pemain muda Moses Raj masih baru menyesuaikan diri dengan intensiti saingan Liga Super. — Selangor FC

Sabah FC juga perlu mengambil kesempatan dengan melancarkan serangan pantas dari sayap, memandangkan Moses masih beradaptasi dengan corak permainan tahap tinggi.

Kelebihan bermain di gelanggang sendiri turut menjadi faktor penting buat skuad Badak. Stadium Likas yang sinonim dengan sorakan padu penyokong tempatan sering memberi kelebihan psikologi dan tenaga tambahan kepada pasukan.

Selain itu, faktor cuaca dan perjalanan jauh dari Lembah Klang sering memberi kesan terhadap pasukan pelawat, menjadikan misi Selangor kali ini lebih mencabar tanpa kehadiran mesra dengan panggilan Afro itu di benteng pertahanan.

Walaupun Faisal Halim dijangka diturunkan dalam aksi menentang skuad Sang Badak, kehadiran pemain lincah itu tidak semestinya membawa kelebihan mutlak buat Selangor FC.

Ini kerana beberapa tonggak Sabah seperti Darren Lok, Daniel Ting dan Dominic Tan sudah cukup mengenali corak permainan Faisal hasil gandingan mereka ketika bersama Harimau Malaya (HM) di pentas antarabangsa.

Darren Lok (kanan) pernah bergandingan rapat dengan Faisal (kiri) dalam beberapa siri perlawanan antarabangsa. — Agensi

Selain itu, pengalaman Darren Lok yang juga pernah bergandingan rapat dengan Faisal dalam beberapa siri perlawanan antarabangsa memberi kelebihan kepada barisan pertahanan Sabah untuk membaca arah serangan Selangor.

Sehubungan itu, dengan maklumat taktikal yang dimiliki pemain Sabah hasil kerjasama terdahulu di kem kebangsaan, skuad Badak dijangka mampu menyusun benteng yang lebih tersusun dan tidak mudah diperdaya oleh pergerakan licik Faisal di ruang kiri padang.

Dengan kombinasi pengetahuan taktikal dan kelebihan beraksi di laman sendiri, Sabah kini bukan sekadar mahu menutup ruang kepada Faisal Halim, tetapi juga memburu peluang untuk menewaskan Selangor yang tampil tanpa benteng utama, Afro.

Untuk rekod, skuad Sang Badak kini berada di tempat ke-10 carta Liga Super manakala Selangor FC berada di tangga ketujuh.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram