[VIDEO] Dari Pekan Titi ke mata dunia, Grace Lim buktikan usia bukan penghalang harumkan nama Malaysia di pentas global


  • Podium
  • Selasa, 28 Okt 2025

Grace satu-satunya peserta wanita dari Malaysia dalam edisi kali ini dan berjaya menamatkan jarak sejauh 246 kilometer itu dengan catatan masa 33 jam 16 minit 58 saat.

 

 

NAMA Grace Lim Swee Ching terus meniti di bibir peminat sukan lasak tanah air apabila atlet larian ultra berkaliber itu sekali lagi mencipta sejarah membanggakan negara.

Terbaharu, wanita berusia 43 tahun itu berjaya menamatkan perlumbaan ekstrem Spartathlon yang bermula dari Athens ke Sparta, Greece pada September lalu.

Lebih manis, Grace yang merupakan satu-satunya peserta wanita dari Malaysia dalam edisi kali ini berjaya menamatkan jarak sejauh 246 kilometer itu dengan catatan masa 33 jam 16 minit 58 saat, sekali gus membuktikan ketahanan mental dan fizikal luar biasa yang dimilikinya.

BACA LAGI: [VIDEO] Grace jadi rakyat Malaysia terpantas, harumkan nama negara di cabaran Spartathlon

BACA LAGI: Bagaikan hilang 'taring', 2 bekas penggempur HM belum berjaya ledak gol untuk kelab masing-masing di Liga M

Kejayaan tersebut menjadikan Grace rakyat Malaysia terpantas, tanpa mengira jantina yang berjaya menamatkan perlumbaan berprestij itu sejak ia mula dianjurkan.

Perlumbaan Spartathlon sendiri menetapkan had masa maksimum 36 jam dan pencapaian Grace bukan sahaja mengangkat namanya, malah turut mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Mengenang kembali permulaan langkahnya dalam dunia ultralarian, anak sulung daripada lima beradik itu berkata segalanya bermula pada 2019 apabila seorang rakan mengajaknya menyertai larian jarak jauh walaupun ketika itu dia belum pernah menamatkan maraton penuh.

“Waktu itu saya cuma mahu mencuba sesuatu yang baharu. Saya sendiri tak yakin dapat habiskan larian 50 kilometer itu.

"Tapi saya kata pada diri, kalau bukan sekarang, bila lagi? Umur pun makin meningkat,” katanya kepada Majoriti.

Sokongan suami jadi tulang belakang

Walaupun aktif dalam dunia sukan, Grace yang bekerja sebagai Perunding Latihan tetap mengutamakan kerjaya dan peranan sebagai seorang isteri.

Grace yang mendirikan rumah tangga sejak 2009 turut mengakui suaminya sentiasa menjadi sumber kekuatan utama sepanjang perjalanan kariernya.

Pasangan itu belum dikurniakan cahaya mata, namun Grace menegaskan ia bukan penghalang untuk mereka menjalani kehidupan yang bahagia dan saling menyokong satu sama lain.

"Suami saya adalah sistem sokongan paling kuat. Dari mula sampai sekarang, dialah orang yang sentiasa ada," ujarnya.

Walaupun aktif dalam dunia sukan, Grace yang bekerja sebagai Perunding Latihan tetap mengutamakan kerjaya dan peranan sebagai seorang isteri.

Biasanya, dia menjalani latihan pada waktu malam selama dua hingga tiga jam, selepas selesai menguruskan keperluan rumah tangga.

"Setiap minggu saya berlari sekurang-kurangnya 100 kilometer. Ada minggu mencecah lebih 200 kilometer.

"Kalau tanya tentang penat, sudah tentu penat tetapi alah bisa tegal biasa.

"Malah untuk pertandingan Spartathlon itu sendiri saya cuba berlari sekurang-kurang 10 hingga 20 kilometer sehari," jelasnya.

Bakat sukan sejak zaman sekolah

Grace aktif dalam bidang sukan sejak di bangku sekolah lagi.

Wanita berasal dari Titi, sebuah pekan kecil di Negeri Sembilan itu juga bukanlah figura asing dalam arena sukan.

Semasa di bangku sekolah menengah, dia pernah mewakili Negeri Sembilan dalam sukan badminton.

Lebih manis lagi, Grace memaklumkan dia pernah berlatih bersama jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei dan isterinya, Wong Mew Choo pada ketika itu.

Bagaimanapun, cita-citanya dalam badminton terpaksa diketepikan demi memberi tumpuan kepada pelajaran atas kehendak keluarga ketika itu.

“Kalau boleh berpatah balik, saya pasti mahu mula lebih awal dalam dunia sukan terutamanya dalam bidang larian,” katanya.

Rekod Malaysia Book of Records (2024)

Grace merupakan wanita pertama di Malaysia yang melakukan lari tanpa henti paling lama di atas sawat injak.

Pada 2024, nama Grace tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai wanita pertama melakukan lari tanpa henti paling lama di atas sawat injak (treadmill).

Grace menamatkan jarak 226 kilometer dalam masa 46 jam, memecahkan rekod terdahulu iaitu 123.85 kilometer dalam 25 jam yang dilakukan Melinder Kaur pada 2022.

Selain itu, Grace turut aktif menyertai pelbagai acara ultra jarak jauh di dalam dan luar negara, termasuk cabaran 400 kilometer serta cabaran 48 jam di Poland, yang menguji ketahanan mental dan fizikal pada tahap maksimum.

Bendera Malaysia Sentiasa Bersamanya

Grace tidak pernah lupa membawa bendera Malaysia sebagai simbol semangat dan identiti dirinya sebagai rakyat negara ini.

Dalam setiap penyertaannya di kejohanan luar negara, Grace tidak pernah lupa membawa bendera Malaysia sebagai simbol semangat dan identiti dirinya sebagai rakyat negara ini.

"Saya bangga menjadi rakyat Malaysia. Di mana pun saya berlari, bendera itu akan sentiasa bersama saya,” katanya.

Namun, menurut Grace, ada satu detik lucu yang masih segar dalam ingatannya ketika menyertai cabaran di Poland.

“Ketika di Poland, ada penduduk tempatan yang menyangka saya membawa bendera Amerika Syarikat kerana warnanya hampir sama dari jauh.

"Saya ketawa dan jelaskan bahawa saya sebenarnya dari Malaysia. Saya cerita kepada mereka tentang negara kita keindahan alam, kepelbagaian budaya dan rakyatnya yang ramah,” katanya sambil ketawa.

Saat itu, katanya, rasa bangga itu berganda.

“Saya berasa sangat bangga. Saya bukan sekadar berlari membawa nama sendiri, tetapi membawa nama Malaysia ke mata dunia," ujarnya.

Pesanan kepada wanita

Grace (kanan) bersama rakan-rakan wanitanya yang aktif dalam larian marathon.

Grace berharap kisah perjalanannya menjadi dorongan kepada lebih ramai wanita untuk bangkit, berani mencuba dan memberi ruang kepada diri sendiri untuk berkembang.

"Ramai wanita rasa mereka perlu jadi sempurna, perlu sedia dulu baru boleh bermula.

"Tapi sebenarnya, tiada siapa bermula dalam keadaan sempurna. Yang penting adalah keberanian untuk mengambil langkah pertama,” katanya.

Menurutnya, cabaran paling sukar bukan terletak pada latihan fizikal semata-mata, sebaliknya pertarungan dalam diri.

Grace juga mahu wanita percaya bahawa usia bukan penghalang.

"Sedangkan saya sendiri bermula pada umur 37 tahun. Saya bukan bekas atlet elit, saya cuma bermula dengan langkah kecil.

"Tetapi langkah kecil yang konsisten, itulah yang membawa saya ke sini hari ini. Kalau saya boleh, sesiapa pun boleh," katanya.

Grace turut berpesan supaya wanita tidak rasa bersalah memberi ruang kepada diri sendiri untuk mengejar minat dan rasa bahagia.

Selepas kejayaan gemilang menamatkan Spartathlon, Grace kini sedang merangka sasaran baharu, namun memilih untuk merahsiakannya buat masa ini.

Perjalanan Grace bukan sekadar tentang angka jarak, catatan masa atau rekod yang dipecahkan.

Ia adalah cerita tentang keberanian seorang wanita biasa yang memilih untuk melangkah keluar daripada zon selesa dan menakluki batas dirinya sendiri.

Daripada pekan kecil di Titi hingga ke pentas dunia, langkahnya membuktikan bahawa impian tidak mengenal usia, latar belakang atau permulaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram