PERLUMBAAN Ultra Spartathlon sememangnya terkenal sebagai antara acara ultramaraton paling mencabar di dunia, namun peserta tunggal wanita dari Malaysia, Lim Swee Ching membuktikan ketahanan luar biasa apabila berjaya menamatkan perlumbaan sejauh 246 kilometer itu dalam tempoh 33 jam 16 minit 58 saat.
Pencapaian itu menjadikan Lim, 43, rakyat Malaysia terpantas tanpa mengira jantina yang berjaya menamatkan perlumbaan berprestij tersebut sejak ia mula dianjurkan.
Perlumbaan Spartathlon yang bermula dari Athens ke Sparta, Greece mewajibkan peserta menamatkan larian dalam masa maksimum 36 jam.
BACA LAGI: DPMM belum setahap JDT, tiba masanya Munoz berikan 3 bintang tersisih minit permainan
BACA LAGI: Saya yang syor 7 pemain warisan ke FAM — Tengku Muda Pahang
Selain jarak yang ekstrem, pelari turut berdepan cabaran cuaca tidak menentu, hujan lebat, bukit curam, serta angin kencang yang menguji ketahanan fizikal dan mental.
Dalam satu perkongsian di laman Facebook miliknya yang dikenali sebagai Grace Lim, dia meluahkan rasa syukur dan tidak menyangka video rakamannya ketika menamatkan perlumbaan menjadi tular.
“Video ini pada asalnya hanya untuk saya sendiri, untuk mengingati detik itu. Tidak sangka ia mendapat perhatian ramai. Saya bersyukur kerana ia dapat memberi inspirasi kepada orang lain.
“Ini bukan tentang populariti, tetapi tentang satu detik yang amat bermakna bagi saya, impian saya, kisah saya sendiri.
“Saya mencurahkan seluruh jiwa untuk Spartathlon. Setiap hari latihan terasa seperti perjuangan, setiap titisan air mata adalah doa senyap agar terus bersemangat.
"Dan ketika saya menamatkan perlumbaan itu, air mata yang mengalir bukan kerana kesakitan, tetapi kerana keindahan impian yang akhirnya direalisasikan," katanya.
Perlumbaan Ultra Spartathlon yang berlangsung pada 27 September lalu menyaksikan penyertaan ratusan pelari dari seluruh dunia.
Kejayaan Lim Swee Ching sekali lagi membuktikan kemampuan pelari ultra negara bersaing di pentas antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
