CALON naturalisasi Harimau Malaya, Giancarlo Gallifuoco menjadi pencetus semangat buat rakan sepasukan selepas kembali beraksi dalam Derbi Lembah Klang menentang Selangor FC saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Ahad yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Menerusi satu perkongsian di laman X, Gallifuoco menzahirkan rasa gembira dapat kembali ke padang bersama skuad The City Boys dan membantu pasukan meraih satu mata berharga sambil mengekalkan rekod clean sheet.
“Selepas enam minggu berehat, saya sangat gembira dapat kembali bersama rakan sepasukan dan turun berjuang dalam Derbi Lembah Klang.
BACA LAGI: [VIDEO] Sampai didukung keluar stadium, Selangor FC sahkan Sharul Nazeem cedera ACL
BACA LAGI: [VIDEO] Macam deja vu, JDT sekali lagi ulangi sejarah 'perfect 10' lepas benam DPMM
“Satu mata berjaya dikutip dan gawang kita kekal bersih! Terima kasih Warga Kota, sorakan anda memang dirasai!” katanya.
Sebelum perlawanan bermula, pemain berketinggian 1.87 meter itu sempat memberikan kata-kata semangat di bilik persalinan, mengingatkan rakan sepasukan agar mengekalkan semangat berpasukan dan berjuang bersama hingga wisel penamat.
“Ingat, hari ini kita tunjukkan kita bersama-sama. Kita tunjuk bahawa kita sepasukan.
“Kita main sebagai satu pasukan termasuk mereka di bangku simpanan. Kita tak akan menang jika tidak bersatu,” katanya dengan nada tegas sebelum pasukan turun ke padang.
Aksi penuh semangat yang ditampilkan oleh KL City FC sepanjang perlawanan berjaya mengekang asakan Selangor yang tampil dengan reputasi sebagai pencabar utama Liga Super.
Keputusan seri itu sekali gus menyuntik semangat The City Boys dalam usaha mereka memperbaiki kedudukan liga dalam saingan musim ini.
Sebelum ini, pertahanan kental KL City FC itu pernah dikaitkan sebagai antara calon pemain naturalisasi terbaharu skuad kebangsaan.
Sebagai rekod, pemain berusia 31 tahun itu menyertai skuad Warga Kota pada 2021 dan menjadi tonggak penting kejayaan pasukan menjuarai Piala Malaysia 2021, selain membantu KL City muncul naib juara Piala AFC 2022 dan Piala FA 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
