TULAR di media sosial perkongsian seorang bapa yang tampil menegur pelanggan yang cuba ‘potong giliran’ di sebuah kedai gunting rambut dalam usaha memberi contoh dan pengajaran kepada anak lelakinya tentang nilai adab dan keberanian menegakkan kebenaran.
Dalam hantaran yang dikongsikan di laman Facebook milik Affenddy Mohamad, dia menceritakan situasi ketika membawa anaknya untuk menggunting rambut.
Menurutnya, mereka tiba di kedai lebih awal daripada seorang pelanggan lelaki berusia sekitar 40-an yang kemudian masuk dan duduk berdekatan dengan tukang gunting.
BACA LAGI: TH utamakan kebajikan bakal jemaah, buka peluang rayuan haji lebih awal mulai 3 November
BACA LAGI: [VIDEO] Grace jadi rakyat Malaysia terpantas, harumkan nama negara di cabaran Spartathlon

Seorang bapa menegur pelanggan yang ‘potong giliran’ di kedai gunting rambut bagi menunjukkan teladan adab dan keberanian menegakkan kebenaran kepada anaknya. — Gambar hiasan
“Selepas pelanggan yang sedang gunting itu selesai, lelaki tadi pantas bangun dan terus duduk di kerusi tanpa mempedulikan kami yang sampai lebih awal,” katanya.
Melihat tindakan itu, anaknya kelihatan pelik dan tertanya-tanya mengapa lelaki berkenaan ‘memotong giliran’.
Tidak mahu berdiam diri, si bapa segera bangun dan menegur dengan nada tegas namun sopan.
“Bos, kami sampai lebih awal. Saya punya giliran,” katanya kepada tukang gunting itu.
Tukang gunting berkenaan kemudian menjelaskan kepada lelaki tersebut bahawa giliran sebenar adalah milik si bapa dan anaknya terlebih dahulu.
Lelaki itu akhirnya kembali ke tempat duduk sambil berpura-pura melihat telefon.
Menurut bapa berkenaan, tindakannya bukan sekadar mempertahankan hak tetapi juga untuk mendidik anaknya melalui contoh sebenar.
Katanya, ada tiga perkara yang ingin dia ajarkan kepada anaknya dalam kejadian tersebut.
“Saya bukan tak nak bertolak ansur, tapi saya nak anak saya belajar nilai adab, hormat dan keberanian menegur perkara yang tidak betul.
“Pertama sekali,saya nak ajar dia, jangan buat perangai macam tu. Bila sudah terbiasa dari kecil, sudah dewasa pun masih mungkin kekal tak ada ‘common sense’.
‘Kedua, saya nak ajar dia, jaga hak kita dan jangan rampas hak orang lain sesuka hati. Biar ada rasa malu dań terakhir bila tengok salah depan mata, tegakkan terus benda yang benar. Begitulah,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
