[VIDEO] Cadangan Malaysia hantar pasukan pengaman ke Gaza dapat reaksi positif PBB


  • Massa
  • Isnin, 27 Okt 2025

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memuji Malaysia atas pendirian luar negara yang konsisten dan berprinsip dalam isu Palestin.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersedia menyokong sebarang usaha keamanan termasuk cadangan Malaysia untuk menghantar pasukan pengaman ke Gaza, sebaik sahaja pihak-pihak utama memutuskan langkah seterusnya bagi mengekalkan gencatan senjata.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres bagaimanapun berkata, butiran mengenai misi itu masih dalam pertimbangan.

"Yang penting sekarang ialah memastikan gencatan senjata dikekalkan dan fasa pertama perjanjian dilaksanakan sepenuhnya.

BACA LAGI: 'Hapuskan buli di mana-mana!', kena 'potong Q' ketika gunting rambut, bapa pertahan hak anak

BACA LAGI: TH utamakan kebajikan bakal jemaah, buka peluang rayuan haji lebih awal mulai 3 November

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres (kiri) bersama Anwar Ibrahim.

"PBB bersedia memainkan apa jua peranan yang diputuskan oleh pihak utama yang terlibat, sebaik sahaja pengaturan gencatan senjata beralih ke fasa seterusnya,” katanya pada sidang media sebelum Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-15 pada Isnin.

Pada 14 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Malaysia untuk menghantar anggota bagi menyertai misi pengaman di Gaza yang diketuai PBB.

Beliau berkata bahawa pasukan pengaman merupakan jaminan terbaik untuk memastikan keselamatan rakyat Gaza.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama pelan keamanan Gaza yang dibentangkannya pada 29 September.

Pelan itu merangkumi gencatan senjata, pembebasan semua tebusan Israel sebagai pertukaran dengan kira-kira 2,000 tahanan Palestin, serta pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza.

Dalam pada itu, Guterres memuji Malaysia atas pendirian luar negara yang konsisten dan berprinsip dalam isu Palestin menyifatkannya sebagai model ketegasan dan keutuhan diplomasi global.

“Saya ingin menyatakan penghargaan terhadap dasar luar Malaysia yang kekal konsisten dan berprinsip.

“Malaysia tidak mengamalkan dwistandard dan terus menjadi penyokong kuat hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta menubuhkan negara mereka,” tambahnya.

Guterres turut menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan Malaysia terhadap rakyat Palestin sepanjang krisis kemanusiaan di Gaza serta usaha negara itu memperjuangkan hak dan maruah mereka di peringkat antarabangsa. — The Star/ RAHIMY RAHIM, TARRENCE TAN, RAGANANTHINI VETHASALAM, ALLISON LAI dan GERARD GIMINO

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram