AGENSI Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu berjaya menahan 179 pesalah dalam Op Perdana peringkat negeri yang dijalankan serentak di lima daerah sejak Khamis lepas.
Operasi berskala besar itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi sokongan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM Terengganu) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN Terengganu).
Operasi itu turut memfokuskan kepada sektor industri perikanan yang mutakhir ini mencatat peningkatan kes penyalahgunaan dadah di beberapa lokasi ‘titik panas’ di negeri Terengganu.
BACA LAGI: Kebajikan anggota diutamakan, PDRM jamin selesaikan isu bayaran upah jahit pakaian seragam
BACA LAGI: DPMM belum setahap JDT, tiba masanya Munoz berikan 3 bintang tersisih minit permainan

Ops Perdana AADK Terengganu yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah(Bahagian Operasi) AADK Zainuddin Abdullah bersama-sama dengan lain-lain agensi sokongan bagi membanteras penyalahgunaan dadah di negeri Terengganu. — Pembaca Majoriti
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainudin Abdullah berkata, faktor geografi perairan negara yang bersempadan dengan negara jiran menyumbang kepada kegiatan haram ini.
Selain Terengganu, negeri-negeri lain seperti Kelantan, Perlis dan Kedah juga mencatatkan kadar kes yang tinggi di perairan, sekali gus menjadi fokus pencegahan bersepadu.
“Data risikan menunjukkan kadar penagihan dan penyalahgunaan dadah tinggi di negeri-negeri ini. Aktiviti pengedaran dadah turut dikesan di perairan negara, sekali gus memberi impak negatif terhadap komuniti nelayan dan sektor perikanan,” jelas Zainudin.
Dalam operasi itu, seramai 179 pesalah ditahan termasuk seorang penjawat awam dan tiga wanita dengan 156 individu didapati positif dadah.
Menurut Zainudin, penglibatan penjawat awam dalam kegiatan penyalahgunaan dadah menekankan kepentingan penguatkuasaan penuh di bawah Akta Penagih dan Penyalahguna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang mula dikuatkuasakan semula oleh Jabatan Peguam Negara pada Ogos lalu.
Operasi tersebut menunjukkan komitmen AADK dan agensi berkaitan dalam membanteras penyalahgunaan dadah terutamanya di kawasan perairan yang menjadi laluan kegiatan haram. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
