TERENGGANU FC (TFC) berdepan laluan sukar untuk mara ke separuh akhir Piala FA 2025 selepas tewas 1-4 kepada Kuching City FC pada aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada 18 Oktober lalu.
Dalam perlawanan yang disaksikan lebih 9,000 penyokong setia, skuad bimbingan Badrul Afzan Razali dikejutkan seawal minit kelapan apabila Ronald Ngah Wanja yang membuka jaringan untuk Kuching City sebelum menambah gol kedua melalui sepakan penalti empat minit kemudian.
Tersentak dengan dua jaringan awal, TFC menggandakan asakan, namun ketangkasan penjaga gol pelawat, Haziq Nadzli menafikan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang The Cats.
BACA LAGI: [VIDEO] Grace jadi rakyat Malaysia terpantas, harumkan nama negara di cabaran Spartathlon
BACA LAGI: [VIDEO] Datang tak kosong, Infantino perkenal kejohanan baharu, lebih baik dari Piala AFF

Kuching City sebelum ini berjaya membawa bekalan selesa dalam aksi pertama suku akhir Piala FA di Gong Badak. — Facebook/kuchingcityfc
Memasuki babak kedua, Kuching City terus garang apabila Daniel Asri meledak gol ketiga pada minit ke-52 hasil serangan balas pantas.
TFC akhirnya merapatkan jurang pada minit ke-68 menerusi sepakan penalti Yann Mabella selepas dia dijatuhkan dalam kotak penalti, sekali gus menghidupkan semula semangat pasukan tuan rumah untuk bangkit.
Namun, nasib tidak menyebelahi Sang Penyu apabila Mabella tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit ke-82 hasil sepakan sudut lawan, sekali gus melengkapkan kemenangan 4-1 buat skuad kendalian Aidil Shahrin Sahak.
Kekalahan itu meletakkan Sang Penyu dalam situasi sukar menjelang aksi timbal balik di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada 28 Oktober ini dengan The Cats membawa bekalan selesa empat gol di tempat lawan.
Meskipun berdepan defisit besar, TFC masih memiliki peluang untuk bangkit berdasarkan beberapa kelebihan menjelang perlawanan timbal balik nanti.

The Cats kini berdepan prestasi kurang meyakinkan selepas sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Penang FC dalam aksi Liga Super. — Facebook/kuchingcityfc
Antaranya, prestasi Kuching City dilihat sedikit terganggu selepas sekadar seri 1-1 dengan Penang FC dalam saingan Liga Super pada 25 Oktober lalu.
Keputusan itu memutuskan rentetan lima kemenangan berturut-turut The Cats dalam semua perlawanan Liga Malaysia dan dilihat menjejaskan momentum mereka menjelang aksi penting menentang TFC.
Kelebihan itu membuka ruang buat Sang Penyu untuk memberi tekanan awal di Kuching dan cuba mencipta keajaiban terutama jika berjaya memanfaatkan kelemahan tuan rumah.
Selain itu, kemasukan pemain import baharu, Kyaw Min Oo dijangka mampu memperkukuh jentera tengah TFC.
Hal ini kerana, pemain kebangsaan Myanmar itu memiliki pengalaman luas dan versatiliti untuk beraksi sama ada sebagai pemain tengah bertahan atau pertahanan tengah, posisi yang kini menjadi kelemahan utama pasukan Pantai Timur itu.

Pemain sayap lincah TFC, Akhyar Rashid (tengah) dijangka kembali memperkuat kesebelasan utama Sang Penyu menentang The Cats. — Facebook/terengganufc
Dalam masa sama, kehadiran semula Akhyar Rashid yang kembali menjalani latihan penuh turut memberi tonik tambahan buat TFC.
Pemain sayap lincah itu sebelum ini berehat panjang akibat kecederaan buku lali namun dijangka sempat diturunkan dalam aksi timbal balik.
Kepantasan dan kelincahan Akhyar dijangka mampu mengucar-ngacirkan benteng pertahanan Kuching City, sekali gus memberi nafas baharu kepada jentera serangan Sang Penyu.
Walaupun berdepan misi getir untuk menebus kekalahan besar di Gong Badak, skuad TFC tetap optimis untuk mencipta kejutan di Kuching.
Jika berjaya memperagakan aksi bertenaga serta memanfaatkan peluang yang ada, tidak mustahil Sang Penyu mampu membalikkan keadaan dan mara ke separuh akhir Piala FA 2025. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
