PENGENDALI Liverpool, Arne Slot mengakui keputusan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Brentford menjadi punca kepada kekalahan pasukannya.
The Reds tumpas buat kali keempat berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan mereka kalah 2-3 kepada Brentford pada Sabtu.
Kekalahan di tempat lawan itu membuatkan Liverpool terus menjunam jatuh dalam kedudukan liga dengan mereka kini di tempat keenam.
BACA LAGI: Jangan terlalu seronok kritik prestasi Mo Salah hingga lupa jasanya bersama Liverpool
Bercakap selepas perlawanan, Slot mempertikai keputusan pengadil yang tidak memberikan sepakan penalti kepada Liverpool sebelum mereka ketinggalan 0-2.
Sebelum gol kedua The Bees hadir, Liverpool menyerang menerusi Cody Gakpo lalu dia dijatuhkan dalam kotak penalti.
Pengadil memilih untuk tidak memberikan sepakan itu dan meneruskanm permainan, lalu Brentford menambah jaringan menerusi Kevin Schade pada minit ke-45.
Pengadil kemudiannya memberikan penalti kepada Brentford pada separuh masa kedua apabila Virgil van Dijk menolak Dango Ouattara.
Slot berasakan tindakan itu dilakukan di luar kotak penalti, namun semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati perbuatan Van Dijk itu adalah di garisan kotak penalti dan sepakan diberikan.
"Ia tidak sepatutnya dilihat sebagai alasan, tapi saya kata ia adalah satu penalti yang lemah (soft), saya harap anda tidak akan kata ia adalah alasan, tapi ia adalah satu penalti yang sangat lemah.
"Saya tak rasa pengadil berfikir untuk memberikan sepakan penalti tapi selepas itu mereka menyemaknya dan dan ia adalah sepakan penalti. Ia mungkin nasib malang jika anda bermain macam mana kami bermain pada perlawanan ini.
"Ia adalah satu detik yang penting sebelum jaringan menjadi 0-2, ada detik di mana Cody Gakpo menggelecek memasuki kotak penalti dan mereka menjatuhkannya," ujar Slot.
Di sebalik kekecewaan itu, Slot turut mengaku pasukannya adalah kedua terbaik di padang apabila sering dikalahkan dengan kekuatan fizikal pemain Brentford.
Para pemain Brentford dilihat sering memenangi pertarungan bola di udara berbanding Liverpool yang gagal mendapatkan rentak.
"Ia sekali lagi mengecewakan. Anda sentiasa berharap jika anda menang perlawanan pada pertengahan minggu, walaupun hanya ada dua hari rehat, anda akan dapat keputusan lebih baik.
"Saya berharap dan menjangkan persembahan lebih baik, tapi persembahannya jauh daripada apa yang kami biasa lalui. Jika kami kalah sekali pun, persembahan sebelum ini lebih baik daripada aksi ini.
"Kami tidak melakukan perkara asas dengan betul, dengan semangat para penyokong di stadium jelas membantu Brentford dan mereka adalah pasukan yang baik, memenangi perebutan bola dan bola kedua," ujar Slot. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
