Besarnya hati Arif Aiman, kirimkan 3 jersi JDT untuk keluarga mangsa bas UPSI


  • Podium
  • Khamis, 23 Okt 2025

Arif Aiman terkenal dengan sikap merendah diri walaupun sudah terkenal hingga ke pentas antarabangsa.

KECEMERLANGAN bintang Johor Darul Ta'zim, Arif Aiman Hanapi tidak perlu diceritakan lagi kerana pemain tersebut sudah membuktikan nilai dirinya dalam pasukan walaupun baru berusia 23 tahun.

Selepas bermusim-musim menggondol anugerah di peringkat domestik, kualiti penyerang sayap tersebut kini diakui di pentas Asia selepas berada dalam senarai tiga teratas bagi Anugerah Pemain Terbaik AFC 2025.

Namun, meskipun namanya sudah mekar di mata dunia, tonggak Harimau Selatan berkenaan tidak pernah meninggi diri kerana sering kali orang ramai bercerita akan sikapnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan sengaja Arif Aiman tak sapa penyokong, terus 'terbang' buru anugerah AFC di Riyadh

BACA LAGI: [VIDEO] Persis Lamine Yamal-Lionel Messi, fans Eropah tuntut Arif Aiman beraksi di Stamford Bridge

Kemalangan bas yang mengorbankan nyawa 15 penuntut UPSI masih diingati ke hari ini.

Perkara itu turut diakui rakan sepasukan seperti Faisal Halim yang melabel Arif Aiman sebagai seorang yang merendah diri walaupun sudah bertaraf antarabangsa.

Antara contoh terbaik adalah apabila dia meluangkan masa menziarahi mangsa buli, Izzul Islam Azuan Isaidi ketika menerima rawatan di hospital akibat gegaran kepala.

Tidak terhenti di situ, baru-baru ini, nama bintang JDT itu sekali lagi mekar di bibir peminat setelah dia menghadiahkan tiga helai jersi JDT kepada keluarga mangsa tragedi bas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Kisah itu dikongsikan di laman Facebook Ahmad Nazrul yang menceritakan bagaimana dua keluarga itu pernah bertemu sebelum ini, namun Arif tidak berkesempatan untuk hadir kerana sibuk dengan tugasan kelab.

"Terima kasih Arif Aiman. Beberapa bulan lalu, keluarga Arif Aiman menziarahi keluarga Allahyarhamah Nurly Sahirah. Arif Aiman pada masa itu tidak hadir kerana terlibat dengan latihan bola sepak.

"Hari ini (Ahad), dia mengirimkan tiga helai jersi JDT yang disampaikan oleh Hajah Norazida Ismail. Terima kasih atas ingatan ini, luaskan kuasamu," tulisnya.

Allahyarhamah merupakan antara 15 penuntut UPSI yang meninggal dunia akibat kemalangan tersebut ketika kenderaan berkenaan dalam perjalanan pulang ke kampus dari Terengganu.

Bas berkenaan dilaporkan hilang kawalan dengan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada kereta berhampiran memaparkan kenderaan berat itu dipandu laju.

Pemergian Nurly menggemparkan seluruh dunia apabila orang ramai berpusu-pusu menziarahi kuburnya di Besut, Terengganu kerana masing-masing kagum akan keperibadian arwah.

Sikap pemurah ditonjolkan Arif Aiman terhadap keluarga Allahyarhamah juga menceritakan sikapnya yang tidak pernah jauh dari sekeliling meskipun dibanjiri kesenangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram