SELEPAS gagal mara ke Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) 2026, skuad bola sepak Malaysia kini berazam menebus kekecewaan itu pada Sukan SEA Thailand yang bakal berlangsung pada Disember ini.
Ketua jurulatih Harimau Muda, Nafuzi Zain mengakui laluan mereka bukan mudah meskipun undian kali ini dianggap seimbang. Malaysia tetap perlu berdepan dua pasukan kuat dalam Kumpulan B, iaitu Vietnam (juara dua kali) serta Laos.
Laos khususnya tidak boleh dipandang ringan kerana dijangka menurunkan beberapa pemain dari skuad senior mereka yang baru-baru ini beraksi dalam Kelayakan Piala Asia 2027.
BACA LAGI: Legenda badminton nasihat BAM, hantar skuad terbaik ke Sukan SEA
BACA LAGI: Pak Long dapat pelepasan majikan, skuad kebangsaan terbaik jika bentuk gandingan asal N9 Antlers
Hanya juara kumpulan akan layak ke separuh akhir, manakala satu lagi slot akan diisi oleh naib juara kumpulan terbaik.
"Saya teruja dengan undian Sukan SEA kali ini kerana kami berada dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Laos.
"Kami tahu ia kumpulan yang sukar, terutamanya kerana Vietnam merupakan juara Piala ASEAN 2024. Namun, itu tidak akan menghalang kami untuk memberikan komitmen sepenuhnya," katanya.
Malaysia sebelum ini melalui kempen mengecewakan dalam Kelayakan Piala Asia B-23 AFC 2026 di Pathum Thani, Thailand pada bulan lalu.
Walaupun mencatat kemenangan besar 7-0 ke atas Mongolia, kekalahan kepada Lubnan (0-1) dan Thailand (1-2) menyaksikan mereka tersingkir awal.

Nafuzi perlu menjadikan Sukan SEA sebagai medan membuktikan dirinya sebagai jurulatih skuad bola sepak negara. — Facebook/MalaysiaNT
Nasib sama turut menimpa skuad bimbingan Nafuzi dalam Kejohanan AFF B-23 di Jakarta dua bulan sebelumnya apabila mereka gagal melepasi peringkat kumpulan selepas sekadar menamatkan saingan di belakang Indonesia dan Filipina.
Bagi memastikan sejarah tidak berulang, Nafuzi berhasrat membentuk skuad lebih mantap untuk Sukan SEA kali ini.
Namun, pengendali dari Kelantan itu berdepan cabaran mendapatkan pelepasan pemain daripada kelab masing-masing selain tempoh latihan pusat yang singkat sebelum kejohanan bermula.
"Matlamat utama kami ialah layak ke separuh akhir terlebih dahulu, sebelum berusaha merebut tempat ke final.
"Kami merancang untuk memulakan latihan pusat pada akhir November dan berharap dapat menghimpunkan barisan pemain terbaik untuk mewakili negara di Chiang Mai," tambahnya.
Pertandingan bola sepak Sukan SEA 2025 dijadual berlangsung dari 3 hingga 18 Disember di Chiang Mai, Thailand. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
