Demi Ee Wei, Tang Jie paksa diri teruskan perlawanan walaupun cedera bahu


  • Podium
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Tang Jie bergelut dengan kecederaan di bahu kanan pada set pertama dan menerima rawatan semasa rehat pertengahan permainan. — Facebook/BAM

HASRAT beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk mara lebih jauh dalam saingan Terbuka Perancis tidak kesampaian apabila mereka tersingkir di suku akhir selepas tewas kepada pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet. 

Pasangan yang juga juara dunia semasa itu gagal menampilkan aksi terbaik dan akur dengan kekalahan 9-21, 18-21 di Glaz Arena, Cesson Sevigne, Perancis pada Jumaat (24 Oktober).

Kekalahan berkenaan juga disebabkan Tang Jie dilihat bergelut dengan kecederaan di bahu kanan pada set pertama dan menerima rawatan semasa rehat pertengahan permainan.

BACA LAGI: [VIDEO] Zii Jia tarik diri Jelajah Dunia akibat cedera, pemain Indonesia harap BWF ubah peraturan

BACA LAGI: Zii Jia, Pearly-Thinaah hampir pasti ke Jelajah Akhir BWF, Aaron-Wooi Yik dalam bahaya

Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu tetap meneruskan permainan dalam set kedua dan menunjukkan semangat juang tinggi bersama Ee Wei, namun mereka tetap gagal menahan kebangkitan lawan.

"Saya tidak berada dalam keadaan terbaik dan perkara itu menyukarkan keadaan kami.

"Sebelum masuk ke gelanggang, saya sebenarnya tidak dapat mengangkat tangan, tetapi saya tetap teruskan bermain, jadi tiada alasan untuk kekalahan ini. Ini adalah situasi yang perlu saya terima. 

"Saya hanya cuba berikan segala kemampuan yang ada. Saya rasa bersalah terhadap pasangan saya kerana kami sama-sama mahu menang, dan kekalahan ini turut mengecewakan dia," katanya memetik temubual bersama Persekutuan Badminton Dunia (BWF). 

Pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet. — Facebook/BWF

Kekalahan tersebut merupakan yang pertama buat Tang Jie-Ee Wei kepada pasangan ranking ke-8 dunia Chun Man-Ying Suet selepas mereka menang dalam dua pertemuan terdahulu.

Ia juga merupakan kekalahan pertama mereka di peringkat suku akhir sejak menjuarai kejohanan dunia di Paris pada Ogos lalu.

Sebelum ini, Tang Jie-Ee Wei muncul naib juara di China Masters bulan lalu dan mara ke separuh akhir Terbuka Denmark minggu lepas.

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam acara beregu campuran berakhir sepenuhnya selepas pasangan profesional bebas ranking ke-9 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, turut tewas 18-21, 16-21 kepada gandingan ranking ke-2 dunia dari China, Feng Yanzhe-Huang Dongping. — The Star/R. KIRUBASHINI

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram