LEGENDA badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei, menyambut ulang tahun kelahirannya dengan penuh kesyukuran dan memilih meraikan hari istimewa tersebut dalam suasana sederhana bersama keluarga tercinta baru-baru ini.
Meskipun meraih kejayaan demi kejayaan di gelanggang antarabangsa, bekas pemain nombor satu dunia itu kini meletakkan kebahagiaan rumah tangga sebagai matlamat utama, mengatasi segala kilauan pingat dan trofi pernah dimenanginya.
Menerusi hantaran di media sosial, beliau yang dilahirkan pada 21 Oktober 1982 itu melahirkan rasa terima kasih atas segala ucapan dan doa yang diterima, namun berkongsi falsafah hidup baharu lebih mendalam.
BACA LAGI: 'Rumah paling buruk' di AS kini berubah jadi mahligai 'pink' bernilai RM628,000
"Terima kasih atas semua ucapan dan doa sempena hari lahir saya. Tahun demi tahun, saya belajar bahawa kejayaan sebenar bukan lagi di podium, tetapi melihat keluarga bahagia dan sukan badminton negara terus berkembang," tulis beliau.
Sambil menegaskan betapa bertuahnya dikelilingi oleh 'harta karun terhebat' (keluarga), Chong Wei mengakhiri ucapan hari jadinya dengan harapan mudah buat arena badminton Malaysia.
"Semoga generasi baharu Malaysia terus berjuang dengan semangat yang sama, jangan berhenti bermimpi dan berusaha untuk mengharumkan nama negara.
"Ketika meniup lilin tahun ini, hasrat saya mudah, agar badminton Malaysia terus maju ke hadapan dengan semangat, perpaduan dan sepenuh hati," ujarnya, menyeru pemain muda agar terus gigih berjuang.
Dalam arena kehidupan peribadi, bekas jaguh itu sering berkongsi detik indah bersama isterinya, Datin Seri Wong Mew Choo, juga merupakan bekas pemain perseorangan wanita negara dan tiga anak lelaki mereka.
Perkahwinan mereka pada 2012 sering menjadi tumpuan kerana kedua-duanya adalah atlet ternama yang pernah mengibarkan bendera Malaysia di pentas dunia.
Mew Choo, yang pernah mencapai ranking ketujuh dunia, turut dikenali sebagai tonggak kekuatan dan sokongan utama Chong Wei, terutamanya ketika beliau berdepan cabaran kesihatan sebelum mengumumkan persaraannya pada 2019.
Pasangan itu membuktikan bahawa semangat juang dan disiplin yang dipupuk dalam sukan turut menjadi asas kukuh dalam membina keluarga bahagia.
Chong Wei yang bersara sebagai atlet profesional selepas hampir dua dekad, meninggalkan legasi sukar ditandingi.
Beliau kekal menjadi satu-satunya pemain badminton Malaysia yang berjaya meraih tiga pingat perak Sukan Olimpik berturut-turut iaitu pada edisi Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.
Konsistensi beliau memuncak apabila mencatat sejarah sebagai pemain nombor satu dunia selama 349 minggu, termasuk rekod 199 minggu berturut-turut, serta merangkul 69 kejuaraan antarabangsa termasuk 47 gelaran Siri Super.
Kejayaan itu bukan sahaja meletakkannya sebaris dengan pemain terhebat dunia, malah menjadikannya Ikon Sukan Negara yang kekal menjadi inspirasi seluruh rakyat Malaysia.
Walaupun hari-hari di gelanggang kompetitif sudah berlalu, semangat 'Wira Kebangsaan' itu kekal membara, kini diterjemahkan melalui dedikasi terhadap keluarga dan harapan besar untuk kesinambungan kecemerlangan badminton negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
