
KES pembunuhan tragik seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor terus meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga, orang sekeliling dan rakya Malaysia.
Tragedi menyayat hati itu turut memberi kesan mendalam kepada bekas juara beregu badminton negara, Tan Boon Heong yang tampil memberikan penghormatan terakhir dengan menghantar jambangan bunga ke upacara pengebumian mangsa di Pusat Peringatan Nirvana, Kuala Lumpur.
Tindakan Boon Heong itu membawa makna peribadi apabila beliau mendedahkan bahawa mangsa, Yap Shing Xuen, 16 tahun, merupakan antara pelajar di Akademi Badminton TBH miliknya.
BACA LAGI: Diam-diam jadi 'secret admirer', suspek tikam di Bandar Utama kenal mangsa dari kelas peralihan
BACA LAGI: Jangan sebar gambar mangsa kes tikam di Bandar Utama — MCMC
Dalam satu hantaran di Facebook, Boon Heong meluahkan rasa sedih dan pilu terhadap kehilangan pelajar tersebut, sambil menjelaskan bahawa penghormatan yang diberikan bukan bertujuan meraih perhatian di media sosial.
"Mungkin peminat saya akan berkata saya tidak kenal pun gadis ini, kenapa saya hantar bunga? Tapi sebenarnya, dia pelajar Akademi TBH kami yang baru menyertai Julai lalu.
"Sebagai seorang yang juga berkeluarga, saya berasa amat sedih apabila perkara sebegini berlaku secara tiba-tiba," katanya memetik hantaran di laman Facebook peribadi legenda itu.
Menerusi hantaran sama, Boon Heong turut menyatakan hasrat untuk hadir sendiri menziarahi upacara pengebumian bagi memberikan penghormatan terakhir kepada bekas pelajarnya itu.
Upacara berkenaan bermula pada Khamis (16 Oktober) dan dijadualkan berlangsung sehingga Isnin (20 Oktober). Boon Heong juga berkongsi hasratnya untuk hadir ke upacara tersebut.
Sementara itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan suspek berusia 14 tahun yang ditahan berhubung kejadian berkenaan masih direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
PDRM juga memaklumkan bahawa senjata digunakan dalam serangan tersebut dibeli secara dalam talian, selain menafikan dakwaan bahawa suspek pernah menyuarakan perasaan cinta terhadap Shing Xuen sebelum kejadian tragik itu berlaku.
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar mengesahkan suspek juga menjalani kaunseling untuk prestasi akademiknya, bukan untuk bantuan psikologi, dan pihak sekolah tidak mengetahui masalah tingkah laku remaja itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram