Gelora pengurusan PDRM angkara isu gaji berterusan, poster berdepan JDT dihasilkan ala kadar


  • Podium
  • Jumaat, 03 Okt 2025

Sang Saka Biru bakal melayan kunjungan juara bertahan Liga Super, JDT dalam saingan Liga Super pada Ahad. — Facebook/pdrmfc

POSTER perlawanan yang dihasilkan oleh admin PDRM FC menjelang pertemuan mereka dengan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 5 Oktober nanti di Stadium Majlis Perbandaran (MP) Selayang, Selangor mencuri perhatian ramai penyokong dengan rekaannya yang ringkas dan ‘ala-kadar’.

Berbeza dengan poster biasa yang biasanya penuh warna dan elemen promosi, poster terkini yang dikongsi di laman rasmi Facebook milik PDRM FC itu hanya menggunakan warna hitam dan putih sahaja tanpa sebarang logo kelab, gambar pemain atau grafik penyokong.

Rekaan minimalis itu dilihat seolah-olah mencerminkan suasana suram dan masalah dalaman yang sedang dialami pasukan.

BACA LAGI: Rahmat di sebalik dugaan, penggantungan bintang warisan beri peluang 3 pemain kian meningkat debut bersama HM

BACA LAGI: [VIDEO] Masih tak bolos lepas 7 perlawanan, aksi 'heroic' jumpa kelab Jepun lengkapkan resume Syihan Hazmi

Poster perlawanan skuad The Cops menjelang aksi getir menentang JDT. — Facebook/pdrmfc

Penggunaan warna hitam dilihat menggambarkan mood suram kelab, manakala warna putih seakan simbolik kepada ketiadaan perjuangan sebenar dalam menghadapi pasukan gergasi seperti JDT.

Malah, perkataan ‘JDT’ ditulis dengan saiz huruf yang besar dan mendominasi poster, berbanding nama ‘PDRM’ yang bersaiz kecil di atas psoter, menimbulkan persoalan mengenai tahap keyakinan dan semangat yang ingin disampaikan oleh pasukan.

Situasi itu dipercayai mencerminkan kemelut dalaman yang kini melanda skuad The Cops termasuk masalah kewangan dan tunggakan gaji yang kini dikatakan menjadi beban kelab.

Poster tersebut sekali gus dianggap sekadar memenuhi keperluan promosi wajib perlawanan dan bukan sebagai usaha membangkitkan semangat juang atau menarik sokongan penyokong ke stadium.

Tangkap layar hantaran admin PDRM FC.

Walaupun ringkas, poster tersebut menggambarkan realiti sebuah pasukan yang boleh dikatakan sedang bertahan dalam kekangan kewangan dan meneruskan perjuangan di padang meskipun tanpa sokongan penuh dari luar.

Sebelum ini, pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu didakwa terpalit dengan masalah gaji selepas akaun media sosial kelab itu tidak menggunakan gambar profil.

Selain gambar profil, skuad Sang Saka Biru juga memuat naik gif dompet kosong yang seolah-olah memberi gambaran isu kewangan sememangnya sedang membelenggu skuad The Cops tersebut.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Asistan Superintenden Mohamad Hafiz Zainal Abidin segera menafikan pasukan sedang berdepan masalah kewangan, sambil menegaskan tiada tunggakan gaji kepada pemain mahupun pegawai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram