Inisiatif upah penganalisis peribadi, keunggulan Bergson wajar ganti Jairo jadi penyerang utama 


  • Podium
  • Khamis, 23 Okt 2025

Musim ini, Bergson sudah merekodkan lapan gol dan satu bantuan jaringan dalam 13 aksi diturunkan.

PENJARING terbanyak sepanjang zaman Liga Super, Bergson Da Silva musim ini jarang mendapat peluang bermain sebagai kesebelasan utama dek kehadiran penyerang import lain. 

Awal musim ini, Harimau Selatan membawa masuk rakan senegara Bergson iaitu Jairo untuk mengemudi jentera serangan JDT hingga menyaksikan pemain berpengalaman Liga Super itu jarang diturunkan. 

Berdasarkan rekod semasa, Bergson hanya tersenarai dalam kesebelasan utama sebanyak enam kali daripada 13 perlawanan musim ini, manakala Jairo telah beraksi sebagai pemain utama dalam 11 perlawanan. 

BACA LAGI: Fans Singapura kata lawan JDT rehatkan ramai pemain bintang, patut menang mudah

BACA LAGI: [VIDEO] Jinakkan kelab China pernah jadi motivasi JDT cetak sejarah di pentas Asia

Walaupun begitu, Bergson tetap membuktikan tahap profesionalisme dan komitmen tinggi apabila sanggup mengupah penganalisis peribadi bagi menilai prestasi serta corak permainannya musim ini.

Berdasarkan hantaran di Insta Story, pemain berusia 34 tahun berkenaan memuat naik semua hantaran foto seorang individu bernama baruchsl, dianggap merupakan penganalisis peribadi Bergson.

"Sentiasa menjadi satu keseronokan bekerja dengan rakan baik saya. Teruskan ke projek seterusnya," kata lelaki berkenaan. 

Melihat kegigihan Bergson, penyokong JDT menganggap pemain berkenaan wajar diberi peluang semula untuk menggantikan Jairo sebagai penyerang utama khususnya dalam perlawanan penting. 

Tangkap layar Bergson bersama penganalisis peribadinya. 

"Patutlah Bergson hebat, dia ada upah profesional untuk analisis gameplay dia rupanya. Tapi itulah, musim ini jarang sangat dia diturunkan sebagai kesebelasan utama sebab ada Jairo," kata penyokong JDT, Pencinta Bola Sepak Malaysia. 

Pendekatan analisis peribadi itu dijangka mampu membantu Bergson kembali ke tahap terbaiknya sekali gus membuktikan bahawa statusnya sebagai legenda penjaring Liga Super belum lagi pudar.

Untuk info, musim ini Bergson sudah merekodkan lapan gol dan satu bantuan jaringan dalam 13 aksi diturunkan. Jumlah itu dianggap sebagai rekod yang cemerlang dengan statusnya sebagai penyerang gantian. — The Star/ SAMANTHA SO

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram