LIVERPOOL menamatkan rentetan empat kekalahan berturut-turut setelah menundukkan wakil Jerman, Eintracht Frankfurt menerusi keputusan 5-1 di tempat lawan dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) awal pagi Khamis.
Selepas ketinggalan pada minit ke-26, anak-anak buah Arne Slot bangkit dengan menjaringkan tiga gol menerusi Hugo Ekitike, Virgil van Dijk serta Ibrahima Konate untuk mendahului sebelum babak pertama berakhir.
Jentera serangan The Reds meneruskan rentak cemerlang pada separuh masa kedua untuk menambah dua lagi jaringan menerusi Cody Gakpo dan Dominik Szoboszlai bagi mengembalikan pasukan ke prestasi terbaik.
BACA LAGI: [VIDEO] Cunha ada aura Eric Cantona — Penyokong Liverpool
BACA LAGI: Akhirnya kecundang, sudah sampai masa Arne Slot beranikan diri 'gugurkan' Mo Salah

The Reds meraih kemenangan selepas tewas empat kali berturut-turut. — Agensi
Perlawanan itu juga sedikit janggal buat peminat kerana tonggak utama, Mohamed Salah tidak berada dalam kesebelasan utama dan hanya dimasukkan pada minit ke-74 permainan.
Dia yang sudah bermusim-musim berbakti buat Liverpool digugurkan dalam pertembungan penting terbabit bagi memberi laluan buat Ekitike di posisi sayap kanan menyerang.
Malah, selepas dimasukkan, bintang Mesir itu melakukan kesilapan apabila membuat percubaan meskipun rakan sepasukannya, Florian Wirtz berada dalam posisi lebih baik untuk menjaringkan gol.
Sikap tamak sedemikian perlu disingkirkan Salah untuk mengelak daripada terus diletakkan di bangku simpanan seperti mana ditegaskan bekas kapten Watford, Troy Deeney.
"Dia sepatutnya membuat hantaran berbanding cuba mencetak jaringan. Dia ada mentaliti untuk menjaringkan gol yang tidak boleh dibuang kerana ia adalah sesuatu yang positif.

Salah membuat percubaan walaupun Wirtz berada di posisi lebih baik. — Agensi
"Tetapi, dalam kes sebegitu, dia perlu menghantar bola kepada Wirtz yang masih mencari jaringan pertama untuk Liverpool. Wirtz boleh berbuat demikian untuk Gakpo yang juga mencari gol pertama musim ini," katanya.
Penyerang sayap Liverpool itu sememangnya dahaga menambah jumlah jaringan buat pasukannya setelah mencatatkan 186 gol buat The Reds sejak menyertai mereka pada 2017/18.
Bagaimanapun, sikap sedemikian kadang kala dikritik penyokong dan media di England yang berpandangan isu sedemikian boleh menjejaskan kecemerlangan pasukan di atas padang.
Pandangan Deeney itu turut disokong pengulas terkenal, Adrian Durham yang berharap Salah dapat mengurangkan sikap tamak itu jika tidak mahu diperam di bangku simpanan.

Wirtz mencatatkan dua bantuan jaringan dalam perlawanan tersebut. — Agensi
"Peluang pada penghujung permainan di mana dia melakukan percubaan terus, kita boleh lihat bagaimana Wirtz berasa berang. Jika dia enggan membuat hantaran, Slot terpaksa mengenepikan terus Salah," katanya.
Kegagalan Salah untuk menjaringkan gol keenam buat Liverpool dalam perlawanan itu pasti pantas dilupakan, namun ia tidak boleh diulangi jika juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut mahu mengekalkan rekod kemenangan.
Selepas ini, The Reds akan bertemu Brentford di pentas EPL pada Ahad depan sebelum bakal menerima kunjungan Crystal Palace di Anfield bagi aksi pusingan keempat Piala Liga empat hari kemudian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
