[VIDEO] Jinakkan kelab China pernah jadi motivasi JDT cetak sejarah di pentas Asia


  • Podium
  • Selasa, 21 Okt 2025

JDT akan berusaha untuk menghidupkan semula kempen ACLE apabila mereka menentang Chengdu Rongcheng di China pada Selasa. — Facebook/JDT

SKUAD Johor Darul Ta'zim (JDT) perlu berusaha lebih dalam aksi menentang Chengdu Rongcheng di Stadium Bola Sepak Phoenix Hill, Sichuan, China pada Selasa bagi aksi Liga Juara-Juara Asia (ALCE).

JDT hanya mengumpul satu mata daripada dua aksi pertama mereka, kekalahan 1-2 kepada Buriram United dari Thailand dan seri tanpa jaringan menentang pasukan Jepun iaitu Machida Zelvia, menjadikan mereka di tangga ke-10 dalam carta Wilayah Timur.

Oleh itu, skuad kendalian Xisco Munoz yang akan berdepan Chengdu Rongcheng perlu membawa pulang tiga mata pertama bagi memberi kembali harapan untuk menyaksikan JDT mara lebih jauh dalam kejohanan berkenaan.

BACA LAGI: JDT buat keputusan tepat, bekas bintang Real Madrid masih bergelut di Las Palmas

BACA LAGI: Orang kuat JDT kembali ke padang, beraksi di samping legenda Liverpool dan Man United

Bagaimanapun, beraksi di bumi China bukan satu perkara mudah buat Harimau Selatan kerana sepanjang aktif di pentas Asia, kelab itu sudah beberapa kali melawat negara berkenaan untuk aksi di tempat lawan.

Musim lepas menyaksikan Harimau Selatan merekodkan seri 2-2 ketika berkunjung ke Shanghai bagi menentang Shanghai Port dengan kedua-dua gol dicetak Arif Aiman Hanapi.

Pada 2019 pula, Shandong Taishan yang dulunya dikenali sebagai Shandong Luneng pernah menewaskan skuad Harimau Selatan, 2-1 pada 9 April walaupun sebelumnya menang 1-0 di Stadium Larkin pada 24 April.

Bagaimanapun, JDT pernah melakar kenangan tersendiri ketika bertemu wakil dari China, terutamanya pada kempen 2022 yang menyaksikan mereka menamatkan penantian untuk layak ke pusingan kalah mati buat kali pertama.

Arif Aiman mencetak dua gol ketika berkunjung ke Shanghai pada 2024. — Facebook/JDT

Ketika itu, JDT diletakkan dalam Kumpulan I bersama Kawasaki Frontale (Jepun), Ulsan Hyundai (Korea Selatan) dan Guangzhou mewakil China, namun semua aksi diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor kerana risiko penularan wabak Covid-19.

Peluang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya skuad Harimau Selatan, termasuk ketika berstatus pasukan pelawat semasa berdepan Guangzhou FC pada 27 April 2022 yang berkesudahan 2-0 memihak kepada JDT.

Gawang Guangzhou dibolosi pada minit ke-16 selepas pengadil, Payam Heidari menghadiahkan penalti kepada JDT apabila Bergson Da Silva dikasari Feng Yifan, sekali gus membolehkan dia meledakkan gol pertama buat Harimau Selatan.

Keputusan pengadil terus memihak kepada JDT apabila satu minit sebelum tamat perlawanan, Harimau Selatan yang dikendalikan Benjamin Mora ketika itu sekali lagi dihadiahi penalti menerusi Bergson selepas Ramadhan Saifullah dikasari Shadeer Sihakejiang.

Kemenangan itu menjadi suntikan buat Harimau Selatan untuk layak ke pusingan kalah mati dalam saingan ACL buat pertama kali selepas menewaskan gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai 2-1 di Iskandar Puteri.

Walaupun perjalanan JDT terhenti di pusingan 16 akibat tewas kepada wakil Jepun, Urawa Red Diamonds, tetapi saingan ACL 2022 itu kekal sebagai memori terbaik Harimau Selatan hadiahkan buat penyokongnya.

Keputusan direkodkan kira-kira tiga tahun lalu itu perlu diulangi di negara Asia Timur tersebut pada Selasa dengan harapan kempen skuad Harimau Selatan bagi ACL Elite kali ini tidak hanya terhenti di fasa liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram