
PENGURUS Manchester United, Ruben Amorim memuji semangat dan prestasi cemerlang ditunjukkan oleh Harry Maguire, Senne Lammens dan Amad Diallo selepas pasukannya menewaskan Liverpool dalam aksi sengit Liga Perdana Inggeris di Anfield, England.
Kemenangan berkenaan menandakan kejayaan Amorim mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam liga buat pertama kali sejak mengambil alih tugas sebagai pengurus United.
Dalam perlawanan di Merseyside tersebut, Bryan Mbeumo meletakkan skuad The Red Devils di depan seawal minit kedua sebelum Cody Gakpo menyamakan kedudukan pada minit ke-78 selepas beberapa percubaan yang hanya mengenai tiang gol.
BACA LAGI: Cuma ada 16 peratus peluang untuk menang, Man United berdepan cabaran getir berdepan Liverpool
BACA LAGI: Orang kuat JDT kembali ke padang, beraksi di samping legenda Liverpool dan Man United
Namun, sorakan penyokong tuan rumah terhenti apabila Maguire menanduk masuk bola melepasi penjaga gol Giorgi Mamardashvili pada lewat permainan, sekali gus memastikan kemenangan dramatik United di tempat lawan.
Dalam sidang media selepas perlawanan, pengendali dari Portugal berkenaan memuji kekuatan mental dan ketabahan bek tengah kental kelahiran England tersebut.
The Aura in Harry Maguire's celebration is unmatched.
I have seen a lot of knee slide but this is above all. pic.twitter.com/isLVKES66B
— Bloke (@UtdBloke_) October 19, 2025
"Ia sangat penting dan kami adalah kelab yang sentiasa berada di bawah tekanan. Bukan mudah bermain di sini, tetapi semua pemain berpeluang untuk beraksi dan ada yang akhirnya pergi, begitulah kehidupan bola sepak.
"Harry Maguire sangat penting untuk kami, dan begitu juga hari ini. Dia contoh terbaik dengan segala yang telah dilaluinya dan teladan untuk setiap anak muda," katanya.
Pertahanan berpengalaman itu kembali ke kesebelasan utama menggantikan Leny Yoro selepas kehilangan tempat dalam perlawanan menentang Sunderland sebelum rehat antarabangsa.
Selain Maguire, Amorim turut memuji aksi penjaga gol muda United, Lammens yang tampil tenang di gawang United selepas penampilan sulung meyakinkan menentang Sunderland.
Amad semakin selesa bermain sebagai bek sayap kanan. — Agensi
"Dia sangat penting hari ini. Kadang-kadang nasib memainkan peranan dua percubaan mengenai tiang boleh mengubah keputusan, tetapi dia tunjukkan watak dan kualiti tinggi," jelasnya.
Bukan itu sahaja, pengendali berusia 40 tahun berkenaan turut menyanjung persembahan Diallo yang beraksi di posisi bek sayap kanan.
"Amad bermain sangat baik dan sesuai dengan posisi itu. Dia agak kecewa bila saya keluarkan dia, tapi dia sudah ada kad kuning. Kalau tidak, dia pasti terus bermain. Dia melalui minggu yang sukar, tapi kami di sini untuk menyokongnya," ujar Amorim.
Kemenangan di Anfield bukan sahaja mengukuhkan keyakinan pemain-pemain United, tetapi juga memperlihatkan sentuhan taktikal Amorim yang semakin berhasil selepas tempoh awal adaptasi di Old Trafford. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram