
MUSIM 2024/2025 menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) melakukan rombakan apabila menyingkirkan beberapa pemain dan digantikan dengan tonggak baharu bagi terus mengumpul trofi Liga Malaysia (Liga M).
Rombakan dilakukan itu juga untuk memastikan Harimau Selatan dapat memberi saingan sengit dalam kejohanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), yang kini menyaksikan JDT kini berada pada kedudukan ke-10 dengan merekodkan satu kemenangan sahaja.
Keputusan pengurusan JDT untuk melakukan perubahan ternyata dianggap langkah bijak, khususnya selepas muncul laporan bahawa bekas pemain mereka iaitu Jese Rodriguez masih bergelut untuk menyesuaikan diri bersama Las Palmas.
BACA LAGI: Peluang JDT semakin senipis bawang, penyerang Albania mula dirisik kelab Jepun
Bekas penyerang Real Madrid berkenaan hanya mencatatkan empat gol dan dua bantuan jaringan daripada 13 penampilannya sejak dia yang disambar pada Oktober lalu amat diharapkan dapat membawa JDT ke tahap lebih baik di pentas Asia.
Sebelum menyertai skuad Harimau Selatan, Jese beraksi di kelab divisyen kedua Brazil, Coritiba selepas beberapa musim bergelut mencari pasukan di Eropah yang pasti memberi impak terhadap keyakinannya.
Namun, kecederaan lampau dialami menyaksikannya terpaksa berehat terlebih dahulu di JDT untuk mendapatkan rawatan selain menyaksikan peluangnya beraksi secara kerap tidak kesampaian.
Jese ketika sesi latihan Las Palmas. —Instagram/Jese
Selepas tidak lagi menyarung jersi JDT, pemain berusia 32 tahun berkenaan dilaporkan belum mampu menampilkan prestasi konsisten dengan pasukan Las Palmas di saingan divisyen kedua La Liga.
Sejak tiba di Las Palmas pada Julai 2025, bekas pemain Sepanyol bawah 21 tahun itu hanya tampil dalam tiga perlawanan untuk Las Palmas dan kesemua perlawanan itu menyaksikan dia beraksi sebagai pemain gantian.
Keputusan Harimau Selatan untuk melepaskan Jese sememangnya tepat apabila JDT kini boleh mengharapkan Ager Aketxe dan Oscar Arribas untuk menggalas tanggungjawab berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram