[VIDEO] Diperdaya dengan janji 'trial' kelab profesional, penjaga gol muda Ghana temui ajal selepas diculik


  • Podium
  • Selasa, 21 Okt 2025

Toure berangkat ke Ghana dengan harapan untuk menandatangani kontrak profesional bersama sebuah kelab. — Agensi

 

TRAGEDI menyayat hati menimpa seorang penjaga gol muda dari Senegal, Cheikh Toure dilaporkan meninggal dunia di Ghana selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan dan penculikan ketika menghadiri sesi ujian kelab bola sepak profesional.

Menurut laporan Ghana SoccerNet pada Isnin, penjaga gol berusia 18 tahun itu ditemui maut selepas diperdaya oleh sekumpulan ejen palsu yang menyamar sebagai pencari bakat di Ghana.

Dalam kenyataan rasmi Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Senegal-Afrika, Toure berangkat ke Ghana dengan harapan untuk menandatangani kontrak profesional bersama sebuah kelab.

BACA LAGI: Kuching City FC: Model contoh terbaik bola sepak tempatan

BACA LAGI: Dari dunia fesyen ke sukan bola sepak, Madam Pang terus ukir nama dalam sejarah Thailand

Bagaimanapun, siasatan mendedahkan bahawa individu yang menjemput mangsa adalah anggota sindiket penipuan di kawasan Kumasi dan bukannya pegawai kelab bola sepak sebenar.

Pihak berkuasa Senegal dimaklumkan mengenai kejadian tragis itu pada 18 Oktober, sehari selepas insiden berlaku.

Menurut laporan awal, Toure dipercayai menjadi mangsa rangkaian penipuan dan pemerasan wang yang menyasarkan pemain muda Afrika yang bercita-cita tinggi untuk beraksi di luar negara.

Kedutaan Senegal di Ghana memaklumkan, mayat mangsa kini ditempatkan di rumah mayat Wilayah Ashanti dan usaha sedang dilakukan untuk membawa pulang jenazah ke Senegal sebaik kelulusan diperoleh daripada pihak berkuasa serta keluarga mangsa.

Wakil kedutaan juga akan menyertai pasukan penyiasat Ghana bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tindakan tegas diambil terhadap semua pihak yang terlibat.

Difahamkan, Toure merupakan penjaga gol muda berbakat dari Akademi Espri Foot Mbul dan sebelum ini mangsa dilihat sebagai antara prospek masa depan bola sepak Senegal.

Mangsa dilaporkan menerima tawaran palsu untuk menghadiri sesi ujian bersama kelab luar negara dan berangkat ke Ghana dengan harapan besar, tanpa mengetahui bahawa tawaran tersebut sebenarnya jerat sindiket jenayah terancang.

Sumber keselamatan mendedahkan bahawa Tourw diculik dan dijadikan tebusan, dengan kumpulan penjenayah menuntut wang daripada keluarganya bagi membebaskannya.

Namun, keluarga mangsa tidak mampu memenuhi jumlah tebusan yang diminta, dan Toure akhirnya ditemui tidak bernyawa di negara asing.

Dalam satu kenyataan rasmi, kerajaan Senegal menzahirkan rasa dukacita mendalam kepada keluarga mangsa dan memberi jaminan akan memantau rapat siasatan serta bekerjasama dengan pihak berkuasa Ghana bagi membawa pelaku ke muka pengadilan.

Kerajaan Senegal turut menasihatkan semua kelab, pemain, akademi dan jurulatih agar berwaspada terhadap tawaran ujian atau perpindahan luar negara yang tidak disahkan.

Bukan itu sahaja, mereka menegaskan bahawa semua urusan antarabangsa perlu dilakukan melalui saluran rasmi dan disahkan oleh pihak berkuasa sukan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram